HILLARY berucap kepada penyokongnya selepas menang di Philadelphia.
AFP

Washington: Bilionair Donald Trump menyapu bersih lima negeri yang mengadakan pemilihan calon presiden kelmarin, seterusnya mengukuhkan kedudukan dalam persaingan dalam parti Republikan.

Sementara itu, untuk parti Demokrat, Hillary Clinton semakin jauh meninggalkan saingannya Bernie Sanders apabila turut meraih kemenangan besar dalam pemilihan calon parti itu.

Trump menumpaskan saingannya Ted Cruz dan John Kasich di Connecticut, Delaware, Maryland, Pennsylvania dan Rhode Island.

“Saya mengandaikan sayalah bakal calon. Pada saya ini sudah cukup menunjukkan saya terpilih,” katanya kepada penyokongnya di depan Menara Trump, walaupun masih belum memperoleh 1,237 perwakilan untuk memenangi pencalonan.

Di pihak Demokrat, Hillary menang empat negeri, termasuk Pennsylvania dan cuma kalah kepada Sanders di Rhode Island.

“Hebatnya malam ini,” kata Hillary kepada penyokongnya di Philadelphia, Pennsylvania.

Bekas setiausaha negara berusia 68 tahun itu kelihatan tidak sabar menghadapi pilihan raya Presiden November ini.

“Mari kita terus mara, menangi pencalonan dan pada Julai kembali sebagai parti yang bersatu,” katanya.

Trump menang besar malam itu apabila mendapat 50 peratus sokongan di kesemua lima negeri. Di Rhode Island dia memperoleh undian 64 peratus seterusnya mengalahkan John Kasich (24 peratus) dan Ted Cruz (10 peratus).

Lebih penting lagi, Trump, 69, semakin mendahului dalam persaingan untuk mendapatkan perwakilan yang akan memilihnya menjadi calon Republikan pada konvensyen parti itu, Julai depan.

Trump mencapai kejayaan itu ketika Cruz dan Kasich yang kini dalam keadaan terdesak dilaporkan bergabung untuk menghalang kemenangannya.

Kasich bersetuju untuk tidak bertanding di Indiana pada 3 Mei ini manakala Cruz di New Mexico dan Oregon.

Pakatan itu dikutuk Trump yang menyifatkannya sebagai ‘menyedihkan dan tidak berkesan.’

Kejayaan Clinton Selasa lalu sekali gus memberi tekanan kepada Sanders yang berazam berjuang sehingga peringkat akhir di California pada 7 Jun ini.

Sementara itu, Trump berkata saingannya tiada harapan langsung untuk memenangi 1,237 perwakilan diperlukan untuk dicalonkan.

Dia kini mempunyai 988 perwakilan, berdasarkan anggaran CNN. Cruz di tempat kedua dengan 568 perwakilan sementara Kasich cuma 152.

Trump turut mendakwa Hillary akan menggunakan ‘isu wanita’ untuk pilihan raya presiden nanti.

“Apa lagi yang boleh digunakannya selain isu wanita? Sejujurnya, kalau dia lelaki dia mungkin tidak mendapat lima peratus undian sekalipun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 6:41 AM