NOUR (kanan) mahu ikut jejak langkah Nicol.

Kuala Lumpur: Kelibat Nour El Sherbini menjadi perhatian peminat negara ini ketika pemain itu menjadi pemusnah kepada impian ratu skuasy negara Datuk Nicol David untuk kembali merampas takhta nombor satu dunia.

Nicol tewas empat kali berturut-turut dalam sembilan pertemuan keseluruhan kepada Nour pada separuh akhir Terbuka British, suku akhir Terbuka Windy City, separuh akhir Kejohanan Juara-Juara dan separuh akhir Terbuka Qatar.

Menduduki ranking kedua dunia ketika ini, Nour memiliki cita-cita untuk bergelar seorang wartawan kerana minatnya dalam bidang itu malah pemain berusia 20 tahun itu kini melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Pengajian Media di Mesir.

Namun, fokusnya kini hanya satu iaitu cuba untuk menakluk dunia skuasy dan menjadi seperti idolanya Nicol.

Jelas Nour, Nicol seorang pemain terbaik dan melakukan sesuatu yang belum pernah pemain lain lakukan dalam sukan ini dan cara Nicol membawa dirinya di dalam gelanggang banyak memberi inspirasi kepadanya.

“Nicol adalah idola saya. Saya sentiasa mempamerkan aksi skuasy terbaik jika bertemu Nicol.

“Dia memberi inspirasi kepada saya untuk berjaya dalam sukan ini dan satu kejayaan apabila dapat menewaskan Nicol,” kata Nour yang akan menentang idolanya itu pada suku akhir di Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Bukit Jalil hari ini.

Meminati muzik dan gemar melayari laman sosial kerana membuatkan dia tenang, Nour berkata, masa terluang banyak dihabiskan bersama keluarga dan teman rapat selain belajar memasak.

Melakar sejarah menjadi juara remaja dunia termuda dalam sejarah ketika berusia 13 tahun, Nour memulakan kariernya seawal usia enam tahun dan menyertai pertandingan pertama pada umur lapan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:39 AM