Anggota bomba menenangkan mangsa yang menahan sakit dan ketakutan. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi

Pantai Remis: Budak perempuan berusia enam tahun terpaksa tahan sakit selama 10 minit selepas kaki kanannya tersepit pada besi penutup longkang di Pekan Pantai Remis, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.10 tengah hari itu, kaki kanak-kanak terbabit termasuk ke dalam penutup longkang di depan restoran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.13 tengah hari sebelum sepasukan anggota bomba ke tempat kejadian.

"Sebaik bomba tiba kami mendapati kanak-kanak berkenaan menangis menahan kesakitan selepas dibantu orang ramai yang tidak berjaya mengeluarkan kaki mangsa.

"Bomba cuba menenangkan mangsa dan mengambil masa kira-kira tujuh minit dengan menggunakan peralatan khas untuk meregangkan besi penutup longkang itu bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa hanya bengkak di lutut serta masih boleh berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 5:47 PM