Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Jurukimpal dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar 73.03 gram methamphetamine, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Dr Sabirin Ja'afar menjatuhkan hukuman itu ke atas G Iyanar Thevar, 42, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, keterangan pihak pembelaan hanya penafian semata-mata dan keterangan seorang saksi pembelaan yang juga kawan kepada tertuduh didapati tidak membantu tertuduh ketika membela diri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki terbabit didakwa mengedar dadah berbahaya itu di tempat letak kereta, restoran McDonald, Car City, Saleng, Kulai dekat sini, 7.30 malam, 18 November 2013.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Iffa Zarilla Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Datin Freda Sabapathy dan Nur Afiqah Hambali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 4:43 PM