ANGGOTA polis mengawal pintu masuk ke pusat penamaan calon, kelmarin. FOTO Mohd Radzi Bujang
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


Miri: Anggota polis digesa tidak terbabit dalam politik dan perlu bersikap neutral bagi menjaga kredibiliti Polis Diraja Malaysia(PDRM) .

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, anggota polis dilarang menyukai (like) dan berkongsi artikel berkaitan politik dariapa sahaja parti di laman sosial.

Menurutnya, ia bertujuan mengekalkan kredibiliti PDRM sebagai entiti yang adil dan bersikap neutral.

"Tindakan sedemikian boleh menjejaskan imej PDRM sekaligus memberikan kesan kepada keyakinan orang awam terhadap PDRM," katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat terhadap seorang anggota polis berkaitan penyebaran maklumat berbaur provokasi di aplikasi Whatsapp semalam.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh calon PKR N77 Telang Usan Roland Enggan di Balai Polis Lapangan Terbang Miri apabila mendakwa anggota berkenaan berkongsi gambar berunsur fitnah mengenainya.

Mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, Dev berkata, ia masih dalam siasatan pihak polis.

"Sekiranya terbukti anggota berkenaan bersalah, tindakan akan diambil, kerana kemungkinan terdapat akaun palsu atau sebaliknya, disebabkan siasatan lanjut perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 4:24 PM