Ramli (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Menara Kastam, Larkin Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Johor mematahkan kegiatan penyeludupan rokok seludup terbesar pada tahun ini berikutan kejayaan rampasan empat kontena rokok bernilai RM3.6 juta membabitkan cukai RM22.1 juta.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Ramli Johari berkata, rampasan terbesar di negeri ini hasil serbuan terhadap dua lokasi berasingan dalam tempoh dua minggu lalu, masing-masing pada 3 dan 13 April lalu.

Katanya, kes pertama membabitkan pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Hino Super Dolphin Mafia dan dua buah kontena 40 kaki di kawasan premis kilang berpenghuni di Jalan Kempas Lama di sini.

"Bagi kes pertama ini kuantiti rokok yang dirampas ialah sebanyak 20.8 juta batang atau 104,000 karton dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.6 juta.

"Cukai yang terbabit berjumlah RM19.5 juta dengan jumlah nilai dan cukai ke atas semua rokok bagi kes pertama dianggarkan bernilai RM12.2 juta," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor di Larkin, hari ini.

Katanya, bagi kes kedua, sepasukan anggota penguatkuasa Pasir Gudang membuat pemeriksaan ke atas dua kontena di kawasan Pelabuhan Pasir Gudang.

“Bagi kes kedua ini, kuantiti rokok yang dirampas sebanyak 20.5 juta batang atau 117,200 karton dengan nilai cukai yang dirampas bernilai RM2 juta dan cukai sebanyak RM11.5 juta.

"Seorang lelaki berusia 42 tahun yang bertindak sebagai ejen yang mengurus pengimportan barang berkenaan ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat ikrar tidak betul ke atas barang yang diimport dan dibaca bersama Seksyen 26, Akta Zon Bebas 1990.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 1:15 PM