Ahmad Kamarulzaman memotong kek selepas Perbarisan Istiadat Sempena Sambutan Hari TLDM Ke-82 di Pangkalan TLDM, Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka akan siap dibina dalam tempoh dua tahun lagi di persisiran pantai Lumut.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, perancangan pembinaan muzium itu turut mendapat persetujuan dan sokongan kerajaan negeri.

Menurutnya, pembinaan muzium itu bersesuaian dengan taraf bandar Lumut sebagai sebuah bandar Tentera Laut dan Maritim serta menjadi ikon kepada negeri Perak.

"Perancangan pembinaan masih dalam perbincangan dan ia akan dibina di persisiran pantai di luar Pangkalan TLDM dan berhampiran bandar Lumut.

"Ia akan dibina di kawasan persisiran seluas anggaran 2.4 hektar yang akan ditambak dan kita bina di luar pangkalan adalah untuk memudahkan orang awam melawat muzium berkenaan," katanya pada sidang media selepas Perbarisan Istiadat Sempena Sambutan Hari TLDM Ke-82 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, di sini, hari ini.

Katanya, muzium berkenaan akan menggunakan konsep berbeza berbanding muzium lain dengan mengetengahkan konsep sentuh, rasa dan pengalaman.

"Bukan hanya mempamerkan artifak sejarah ia juga akan menunjukkan peranan TLDM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 12:53 PM