Kuala Lumpur: Kadar penurunan harga minyak semasa dilihat memberi kesan positif kepada ekonomi negara, sekali gus menurunkan kos bagi perniagaan dan pengguna secara keseluruhannya.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, selain itu dengan harga minyak yang turun sekarang, ia juga dapat mengurangkan kadar inflasi.

Katanya, pengguna juga akan mempunyai lebih banyak dana untuk perbelanjaan lain dan meningkatkan permintaan penggunaan terhadap barangan lain yang dapat memacu pertumbuhan.

“Dengan itu, kita dan rantau ini berupaya kekal di landasan pertumbuhan mampan,” katanya pada ceramah khas mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN dan Globalisasi yang dianjur oleh Kelab Perniagaan ASEAN ABC, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi CIMB Group dan Pengerusi Bersama ABC Malaysia, Datuk Seri Nazir Razak.

Zeti berkata, bagaimanapun jika harga minyak jatuh kepada paras terlalu rendah, pendapatan kerajaan dan perbelanjaan pembangunan akan terjejas.

“Ini akan berlaku jika harga minyak terus jatuh kerana negara banyak bergantung kepada industri minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam industri petroleum juga akan dikurangkan dan apabila bekalan terkawal harga akan lebih terdorong untuk meningkat.

Harga minyak mentah dunia dijangka akan terus berada pada paras antara AS$70 dan AS$75 setong bagi suku keempat dan menjelang tahun depan.

Sejak beberapa hari lalu, harga minyak dunia menyaksikan aliran menurun selepas negara kuasa ekonomi dunia seperti China dan Eropah mengubah unjuran pertumbuhan kepada paras lebih rendah.

Ia diburukkan lagi dengan berita negara pengeluar minyak Arab Saudi dan OPEC melahirkan pendirian tidak akan menyekat pengeluaran meskipun harga minyak jatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:03 AM