DERETAN salad segar yang ditanam secara hidroponik.
KEADAAN pokok tomato yang daunnya dicantas tiga hari sebelum tuaian.
KAKITANGAN AEON dan rombongan media mengambil peluang merasa salad segar di ladang.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Pastinya ramai yang teruja memilih sayur di pasar raya apabila adanya pilihan segar dan berkualiti, umpama baru dipetik dari kebun.

Sedar tak sedar, bakul yang asalnya dijinjing kosong untuk mengisi kelengkapan dapur, sarat dengan pelbagai jenis sayuran.

Begitupun, senario sedemikian tidaklah hanya tertumpu kepada wanita saja, bahkan turut dialami ramai lelaki terutama ketika membeli-belah di rangkaian Pasar Raya AEON.

Siapa tidak leka apabila dihidangkan dengan timbunan salad segar, tomato, timun jepun dan banyak lagi sayuran hijau yang segar?

Justeru, apabila AEON Malaysia mempelawa Agro mengikuti program 'Farm to Floor' bersama dua wakil media lain, pantas peluang itu direbut sepenuhnya.

Program dua hari itu disusun padat dengan pelbagai rencana menarik untuk menjenguk kebun sayur mereka di Cameron Highlands, Pahang.

Cuaca sejuk di Cameron Rabu lalu membangkitkan rasa tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke tapak semaian sayur di puncak dan lereng bukit sekitar kawasan tanah tinggi.

Bermula di pusat pembungkusan sayur, pengarah syarikat perladangan, Heng Pooi Chin, menerangkan cara tomato diasing mengikut saiz, kematangan dan kualiti menggunakan mesin yang diimport dari Belanda.

Uniknya, mesin pengasingan berkenaan tidaklah kelihatan begitu canggih, namun ia bergerak pantas hingga mampu memproses lebih 20 tan metrik tomato sehari.

Malah, kata Heng, mesin itu sebenarnya mampu menampung kapasiti maksimum tomato, mencecah 70 tan metrik sehari.

Dari situ penulis dan rakan media lain menjenguk ruang pembungkusan sayur yang majoritinya dilakukan tenaga pekerja secara manual.

Pelbagai sayur berdaun hijau seperti sawi dibungkus kemas dan disusun dalam kotak sebelum dimasukkan ke dalam vakum khas.

Vakum terbabit berfungsi sebagai pemampat udara sejuk, sekali gus mengekalkan kesegaran sayur.

Jelas Heng, pusat pembungkusan itu tidak memerlukan bilik sejuk untuk menyimpan hasil tuaian kerana ia bertentangan dengan falsafah perniagaannya iaitu 'memberi yang segar'.

Selesai melawat pusat pembungkusan, penulis dibawa mendaki puncak bukit berliku sekitar Cameron Highlands hingga ke kawasan Lojing di sempadan Kelantan menggunakan pacuan empat roda.

Ladang pertama menempatkan ribuan tanaman salad yang dikembangkan secara hidroponik.

Dari jauh, daun salad jenis butterhead, batavia, salanova, cameron dan easy lettuce nampak tersusun indah hingga sukar digambarkan dengan kata-kata.

Kawasan seluas kira-kira 12 hektar itu dibaja secara berjadual menggunakan 'nutrient film technique' atau NFT.

Semua jenis daun salad dituai seawal jam 6 pagi dan diproses dan dibungkus mengikut teknik sayuran berdaun sebelum dihantar ke Pasar Raya AEON seluruh negara.

Selain ladang salad, kami turut dibawa ke ladang tomato, timun jepun, terung belanda serta sayur tempatan.

Berbeza dengan tanaman hidroponik, sayuran jenis buah mendapat nutrien dengan kaedah pembajaan melalui sistem pengairan.

Setiap pokok tomato, timun dan terung ditanam dalam polibeg mempunyai sabut kelapa yang disuntik paip agihan baja cecair.

Cara ini dikatakan lebih berkualiti, mudah dikawal, menjimatkan tenaga pekerja serta membolehkan tanaman membesar sihat mengikut piawaian.

Penolong Pengurus Besar (Rangkaian Makanan) AEON, Hiroko Yamada berkata, pihaknya berbangga melihat kesegaran hasil ladang yang dibawa kepada pelanggan AEON setiap hari.

"AEON sentiasa komited untuk memenuhi polisi niaga iaitu menyediakan produk terbaik setiap masa kepada pelanggan.

"Justeru itu, kita mencari rakan pembekal terbaik yang bukan saja memahami polisi AEON, tapi turut me-nyokong perniagaan kami dari segenap sudut," katanya.

Jelas Yamada, beliau berpuas hati dengan hasil pemeriksaan kualiti di ladang terbabit dan gembira kerana dapat melihat sendiri bagaimana proses dan perjalanan produk dari Cameron Highlands ke AEON.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:02 AM