Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Membuka pentas pertarungan minggu penentuan protege yang pertama ternyata menjadi malam gelisah buat Ajai, Amy Search dan Dayang Nurfaizah dalam Mentor Legend di TV3, malam kelmarin.

Hakikatnya, mereka benar-benar dalam dilema untuk menentukan siapa dia antara dua protege mereka layak dibawa ke pusingan seterusnya.

Ajai mempertaruhkan Fahmie, 26, dan Mal, 23, Amy dengan Sarah, 19, dan Zelmi, 24, manakala Dayang mempertaruhkan Azmil, 22, dan Sandra, 20.

Yang pasti menerusi konsert dilangsungkan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam itu, enam peserta yang bertanding benar-benar mempunyai kekuatan serta bakat tersendiri.

Tidak hairanlah berdasarkan persembahan itu Mentor Legend mendapat reaksi yang rata-ratanya memuji dan teruja untuk terus menonton program berkenaan pada minggu seterusnya.

Dua peserta yang memberi impak pada malam itu ialah Azmil dan Sarah yang tampil dengan persembahan memukau.

Dihadiahkan tepukan paling gemuruh, Azmil menonjolkan penghayatan mengagumkan menerusi lagu Bukan Diriku (Samsons) dan vokal Sarah mengagumkan dengan Skyfall (Adele).

Begitupun, persembahan dua protege Ajai iaitu Fahmie dan Mal juga sebenarnya sudah cukup menyakinkan untuk konsert pembukaan.

Bagaimanapun, memiliki 'tone' suara unik dan menarik, vokal Sandra serta Zelmi malam itu pula kurang menyerlah.

Sarah tidak perlu pertandingan-Amy Search

Menjadi keputusan paling membingungkan, Amy yang memilih Zelmi dan bukannya Sarah jelas mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton.

Di laman sosial juga, penonton rata-rata tidak bersetuju dan kecewa dengan keputusan itu.

Bagaimanapun, Amy yang tegas dengan keputusannya berkata, dia tidak melihat Sarah sebagai material pertandingan sebaliknya gadis itu sudah layak menjadi artis rakaman.

"Memang dia sangat bagus. Sebab itu saya memilih Zelmi untuk bertanding kerana program ini pun bertujuan untuk mengajar serta melihat perkembangan seorang peserta itu.

"Malam ini (kelmarin) pun sebenarnya adalah malam kemenangan Sarah sendiri kerana dia berjaya menyampaikan persembahan yang cukup bagus.

"Dia penyanyi yang 'ready to go' sebagai artis rakaman dan saya sudahpun ada perancangan untuknya dalam bidang seni suara," katanya.

Apa yang pasti, tindakan Amy itu seolah-olah melepaskan peluang untuk memenangi Mentor Legend, namun Amy yakin Zelmi ada kelebihan sendiri.

"Ada sebab saya memilih Zelmi dan semestinya saya yakin dengan keputusan itu. Zelmi sendiri sudah mempunyai keunikan dari segi suara dan dia sebenarnya ada kelebihan tersendiri. Cuma sekarang saya perlu mengasah lebih lagi kemampuannya," katanya.

Azmil tinggalkan segala-gala demi Mentor Legend

Berjaya menyalurkan tenaga dan penghayatan menyakinkan menerusi persembahannya malam itu, Azmil tidak dinafikan meletakkan penanda aras terhadap saingan program itu kali ini.

Bukan mudah untuk diyakinkan seseorang penyanyi kerana vokal saja tidak memadai. Tanpa penjiwaan dan ketulusan dalam penyampaian tapi peserta kelahiran Tawau, Sabah itu berjaya menguasainya.

Azmil menyertai program itu memang mahukan kemenangan. Malah, dia mengakui itu adalah impiannya sejak sekian lama hingga sanggup berhenti kerja serta menamatkan perniagaannya.

"Banyak sebenarnya yang saya lepaskan demi mencapai impian sekian lama untuk menjadi penyanyi. Selain merantau meninggalkan kampung halaman tercinta, saya juga terpaksa melepaskan kerjaya sebelum ini.

"Itulah risiko yang saya ambil dan bersyukur dipilih kak Dayang untuk ke peringkat seterusnya. Perjalanan baru saja bermula dan saya tidak akan sekali-kali mensia-siakan peluang ini. Saya kena kerja keras," katanya yang sebelum ini bekerja di sebuah taman tema terkenal di Johor serta berniaga kecil-kecilan.

Bagi Dayang pula, dia terpaksa menilai daripada segi persembahan penentuan malam itu sama ada mahu memilih Azmil ataupun Sarah.

"Sandra memiliki 'tone' suara yang sangat relevan pada masa ini. Azmil pula memang cukup sedia untuk pertandingan besar sebegini dan kerana itulah saya benar-benar dalam dilema.

"Bagaimanapun, menilai persembahan malam ini, Azmil berjaya menonjolkan semua kriteria yang saya mahukan untuk bertanding dalam program ini. Apapun, saya juga tidak akan sekali-kali mensia-siakan bakat Sarah dan sudah ada perancangan buatnya," katanya.

Mal sudah terlalu sempurna-Ajai

Turut dihambat kesukaran itu, Ajai pula tampil dengan alasan paling menyakinkan apatah lagi menilai Fahmie dan Mal, nyata kedua-duanya sama hebat namun akur hanya satu perlu mara.

Dipuji hebat terutama bab suara dan nyanyiannya, Mal bagaimanapun disifatkan Ajai sudah terlalu sempurna untuk bertanding dan penyanyi itu sepatutnya sudah layak diletakkan di studio rakaman.

"Saya sudah melihat sendiri kemampuan mereka dan saya tidak dapat mencari kesilapan pada Mal. Hakikatnya, dia tidak perlukan pertandingan kerana sejujurnya nyanyian dia sangat luar biasa.

"Kerana itulah saya memilih Fahmie bertanding kerana berbanding Mal, ada beberapa aspek yang harus saya perbetulkan lagi terhadap nyanyiannya. Vokal dia memang hebat dan pada tahap ini saya tidak mahu memikirkan aspek itu lagi namun daripada segi keberkesanan nyanyian, masih ada perlu dikerjakan," katanya.

Berasal dari Shah Alam, Selangor, Fahmie sangat bersyukur dapat mara dan sebenarnya tidak percaya dengan pencapaiannya itu.

"Inilah pertama kali saya hadir ke uji bakat program realiti dan selama ini hanya memendam saja impian itu. Bukan apa, saya cuma tidak yakin jika bakat saya akan dihargai dan begitu juga ragu-ragu dengan kemampuan diri.

"Bagaimanapun, saya sangat yakin Mentor Legend bukan program yang calang-calang dan sangat menitikberatkan bakat. Sebab itu, saya akhirnya memberanikan diri mencuba nasib," katanya.

Pada konsert itu, tiga mentor terbabit juga tidak ketinggalan membuka tirai persembahan dengan medley lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini sebagai 'tribute' kepada beliau yang pernah menjadi mentor serta juri tetap Mentor.

Dimulakan Dayang dengan lagu Kau Tinggi Di Awan Biru, diikuti Ajai (Kau Racun Hidupku), kemudian Amy (September).

Ahad ini, tiga lagi mentor iaitu Ella, Mas Idayu dan Zainal Abidin bakal memilih seorang daripada dua protege mereka untuk mara.

Dihoskan Awal Ashaari, bekas peserta mentor juga penyanyi, Shiha, turut bertindak sebagai pengacara Jurnal Mentor Legend setiap Ahad, jam 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:00 AM