CALON BN DUN N.03 Tanjong Datu, Tan Sri Adenan Satem ditemani isteri, Puan Sri Jamilah Anu sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berarak bersama penyokong sebelum memasuki dewan penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu, Lundu.FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Shamran Sarahan
shamss@hmetro.com.my


Lundu: Kejayaan Barisan Nasional (BN) Sarawak memenangi dua kerusi tanpa bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari dan Bukit Kota, menunjukkan kerapuhan pakatan pembangkang di negeri ini yang tidak menunjukkan kesepakatan mereka dalam pengagihan kerusi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kemenangan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (DUN Bukit Sari) dan Dr Abdul Rahman Ismail (DUN Bukit Kota) itu jelas memperlihatkan kerapuhan pakatan pembangkang yang gagal mencapai konsensus berhubung proses pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 kali ini.

"Ia jelas membuktikan ketidakupayaan pembangkang di negeri ini menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu berkhidmat kepada rakyat.

"Kita menang dua kerusi hari dan akan menang banyak lagi. Kita perlu ingat, undi ini adalah jaminan masa depan untuk Sarawak. Jika kita mengundi pembangkang, apakah kita mahu kerajaan yang rapuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Rumah Rehat Kerajaan, di sini, sebentar tadi, ketika mengiringi calon BN Dun Tanjung Datu Tan Sri Adenan Satem.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 12:16 PM