PROGRAM pengajian Senireka Grafik di MSU mempunyai potensi besar dalam industri kreatif negara.
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Industri kreatif di Malaysia menunjukkan perkembangan positif sejajar perkembangan semasa ekonomi negara termasuk dalam bidang drama, animasi dan kerja kreatif lain.

Ia dijangka terus berkembang berikutan pelancaran Dasar Industri Kreatif Negara pada 2010 yang memperuntukkan dana RM200 juta bagi menyokong industri kreatif negara.

Industri kreatif negara pada 2013 menjana pendapatan RM9.4 bilion dan dijangka meningkat kepada RM33 bilion menjelang 2020.

Antara cabang industri kreatif ialah bidang seni reka grafik iaitu proses menyampaikan mesej tertentu kepada golongan sasaran dengan memfokuskan kepada pengunaan komunikasi seni visual efektif sebagai medium persembahan.

Penggunaan ilmu seni reka grafik termasuk dalam penghasilan identiti (logo dan jenama), laman sesawang dan penerbitan (filem, majalah, surat khabar dan buku). Ini kerana sesuatu produk memerlukan kombinasi pakej seperti logo, teks, bentuk, warna, susunan dan sebagainya.

Tugas untuk mengkomposisi item berkenaan kepada bentuk yang ideal dan kreatif adalah tanggungjawab seorang pereka grafik.

Antara bidang pengkhususan kerja yang boleh diceburi lepasan seni reka grafik ialah sebagai pengarah seni/kreatif,pereka logo, pereka multimedia, jurufoto dan pereka laman sesawang.

Melihat potensi bidang ini, Management & Science University (MSU) memberi peluang kepada mereka yang berminat mengikuti program pengajian Senireka Grafik di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dengan kelayakan minimum digariskan universiti melalui Faculty of Information Sciences & Engineering (FISE).

Menggunakan modul pembelajaran terkini selain sokongan pensyarah berpengalaman melalui program mentor-mentee, pelajar akan dibimbing untuk mencapai keputusan cemerlang, selain suasana pembelajaran kondusif sebagai bonus.

Selain bidang reka bentuk grafik, FISE turut menawarkan program pengajian peringkat diploma dan ijazah dalam bidang pengkhususan yang berkait rapat dengan industri kreatif seperti pereka permainan dan animasi, sains media, kreatif multimedia yang relevan dengan keperluan semasa industri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:01 AM