Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (enam dari kanan) bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (lima dari kanan) kelihatan teruja melihat projek pembangunan PKNP ketika diberi penerangan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (empat dari kiri) ketika melawat ruang pameran sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji. FOTO Supian Ahmad
Asrizal Aris

Tapah : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli melawat pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji, di sini, hari ini.

Baginda tiba di pameran berkenaan pada 11.25 pagi dan disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Baginda bersama tetamu kehormat kemudian berkenan melawat sekitar ruang pameran anak syarikat milik penuh PNB dan rakan strategik sambil meluangkan masa kira-kira sejam bertemu dan bersalaman dengan rakyat.

Pada hari kelima program MSAM itu, sebanyak 50 gerai pameran daripada anak syarikat milik penuh PNB dan rakan strategik disediakan untuk dikunjungi.

Pameran berakhir pada 28 April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 3:02 PM