RAKAMAN CCTV menunjukkan Rubino menembak Susso.
Agensi

Rome: Mafia mengisytiharkan perang terhadap pendatang Afrika di Palermo, Sicily, akibat perebutan kuasa antara dua kumpulan itu.

Konflik tercetus minggu lalu selepas seorang samseng menembak lelaki Gambia tidak berdosa di kepalanya di tengah jalan.

Ketegangan berlaku susulan laporan penjenayah Afrika menyelinap masuk ke negara itu kononnya sebagai pendatang.

Datuk Bandar Palermo Leoluca Orlando berkata, Mafia kini berang kerana bandar itu semakin nampak seperti pekan Asia Barat.

“Keadaan akan semakin teruk. Sebelum ini ketika Mafia masih berkuasa, ia menghalang pendatang memasuki bandar ini.

“Sehingga saya berusia 30 tahun saya tidak pernah melihat orang Afrika atau Asia di Palermo.

“Namun, Mafia perlu faham, bandar ini sudah berubah dan ketua Mafia tidak lagi mampu mempengaruhi datuk bandar,” katanya.

Minggu lalu, Emanuele Rubino ditahan selepas menembak Yuspaha Susso, 21. Mangsa bagaimanapun bernasib baik apabila peluru sekadar melelas otaknya.

Kejadian berlaku selepas Susso dan rakannya berkelahi dengan sekumpulan samseng tempatan.

Penembakan Susso ketika dia dalam perjalanan pulang selepas bermain bola sepak mencetuskan kemarahan penduduk tempatan dan polis kini tekad untuk bertegas dengan Mafia.

Rubino berdepan hukuman penjara 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 7:57 AM