TFC II kini mengintai kemenangan keempat berturut-turut, malam ini.

Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) berhasrat menambah duka Pulau Pinang dan seterusnya mencatat kemenangan keempat berturut-turut apabila kedua-kedua pasukan membuat perhitungan di Stadium Bandaraya, malam ini.

Perancang TFC II Mohd Badrol Hisham Morris berkata, skuad yang dulunya dikenali T-Team itu sudah bersedia sepenuhnya untuk menambah luka tuan rumah.

Selain itu, bekas pemain Sime Darby FC yang berasal dari Batu Rakit, Setiu itu menyatakan kejayaan menumpaskan Kedah 4-1 Rabu lalu ternyata membakar semangat pemain TFC II untuk pulang dengan mata penuh.

“Kami sudah biasa bermain di stadium berkenaan kerana musim lalu TFC II dan Pulau Pinang yang juga dikenali Harimau Kumbang sama-sama beraksi dalam saingan Liga Perdana, justeru pertemuan malam ini kami bertekad untuk mencatat kemenangan dan seterusnya mengintai kedudukan di tangga ketiga liga.

“Motivasi berterusan yang diberikan jurulatih dan pihak pengurusan juga mampu menyuntik semangat kami untuk beraksi lebih baik malam ini,” kata pemain berusia 29 tahun itu yang turut mahukan rakan sepasukan kekalkan prestasi dan tidak terlalu berpuas hati dengan kemenangan menewaskan Kedah tempoh hari.

The Titans yang juga pendatang baharu Liga Super kini berada di tangga keempat liga dengan mengumpul 12 mata daripada lapan perlawanan manakala skuad Pulau Pinang menghuni tangga kedua terbawah liga dengan lima mata.

Sementara itu, ketua jurulatih The Titans Rahmad Darmawan mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu yakin sebaliknya perlu berwaspada dengan taktikal lawan biarpun kini sudah menemui sentuhan kemenangan.

“TFC II sudah bangkit daripada kekalahan dan kini berada di landasan tepat meneruskan rentak kemenangan bertemu Pulau Pinang, namun apa yang penting pemain harus mengekalkan aksi konsisten sepanjang 90 minit perlawanan,” kata bekas pemain kebangsaan Indonesia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 6:07 AM