Filem Munafik yang dikatakan sebagai kebangkitan semula pengarah Syamsul Yusof selepas kecewa dengan nasib menimpa KL Gangster 2, nyata membawa tuah berganda apabila mendapat sambutan hebat sejak ditayangkan 25 Februari lalu.

Selepas 49 hari tayangan, filem terbitan Skop Production Sdn Bhd itu mencatat sejarah dengan kutipan keseluruhan RM19 juta, sekali gus menjadi filem tempatan paling tinggi kutipannya setakat ini mengatasi rekod Polis Evo.

Ini juga filem seram kedua Syamsul selepas Khurafat yang mendapat sambutan pada 2011. Kejayaan filem ini memberi semangat kepada Syamsul untuk menghasilkan Munafik 2 tidak lama lagi.

Begitu juga dengan kejayaan filem animasi BoBoiBoy: The Movie yang mula ditayangkan 3 Mac lalu turut mendapat sambutan dengan kutipan RM16 juta selepas 40 hari tayangan.

Ia menduduki tangga keempat carta kutipan tertinggi filem tempatan di belakang The Journey (RM17.28 juta), Polis Evo (RM18 juta) dan Munafik (RM19 juta).

Filem terbitan Primeworks Studios itu mengatasi kutipan Ola Bola yang ditayangkan 28 Januari lalu dengan kutipan (RM15.85 juta).

Perkembangan baik industri filem tempatan akhir-akhir ini juga secara tidak langsung memberi kesan kepada kemasukan filem dari Indonesia.

Hakikatnya, hasil seni mereka sering mendapat pujian kerana menghasilkan karya besar dan hebat malah berjaya dipasarkan ke luar negara.

Tapi beberapa filem besar seperti Habibie & Ainun, Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van Der Vich dan banyak lagi, tidak sampai ke sini.

Malah filem Laskar Pelangi yang banyak menang anugerah dan mendapat sambutan di Indonesia, hanya ditayangkan di Astro First.

Antara sebabnya, mungkin kerana kebanjiran drama bersiri atau sinetron di stesen televisyen hingga memberi impak besar kepada sambutan terhadap filem Indonesia yang ditayangkan di pawagam.

Walaupun ramai warga seberang di sini, nyata ia tidak menarik minat golongan ini untuk berpusu-pusu ke panggung.

Apabila sambutannya kurang memberangsangkan, pengedar di Malaysia juga mungkin berfikir banyak kali untuk membawa karya dari seberang untuk ditayangkan di sini, berbeza ketika 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, pola itu mula berubah awal tahun ini apabila filem Indonesia kembali menjengah pawagam tanah air.

Bermula dengan Aach..Aku Jatuh Cinta bulan lalu, kini bakal menyusul Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) yang dijangka ditayangkan serentak di Indonesia pada 28 April ini.

Tentunya langkah berani Primeworks Studios mendapatkan hak pengedaran filem ini menjadi satu berita gembira buat peminat filem Indonesia di negara ini.

Filem terbitan 13 Entertainment ini mempunyai sejarah tersendiri hingga ramai yang tidak sabar menantikan tayangannya.

Nafas baru untuk filem Indonesia

AADC pernah mencatat fenomena pada 2002 apabila gandingan Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo mendapat sambutan. Lagu tema filem ini dengan tajuk sama dendangan Melly Goeslow juga cukup diminati.

Nama Nicholas dan Dian juga melonjak naik menerusi filem ini hingga menarik minat pengedar Malaysia membawa filem lakonan mereka di sini seperti Ungu Violet lakonan Dian dan Janji Joni (Nicholas).

AADC juga memberi nafas baru kepada industri filem Indonesia yang dilihat kembali bangkit selepas mengalami zaman suram.

Kini selepas 14 tahun, Nicholas dan Dian kembali bercinta di layar perak. Tentunya peminat mereka tidak sabar menyaksikan Rangga dan Cinta bertemu kembali.

Apakah cinta mereka kembali bertaut dengan pertemuan kali ini? Tapi suasananya kini berbeza, bukan lagi cinta remaja sebaliknya sudah dewasa dan mungkin bertemu cinta baru.

Bagi Primeworks, filem ini dilihat sebagai peluang yang baik untuk bekerjasama dengan penerbit dari negara jiran selepas kali terakhir bekerjasama kira-kira 10 tahun lalu.

Sebelum ini Grand Brilliance bukan saja membawa filem Indonesia ke sini malah cuba menembusi pasaran di sana dengan menghasilkan filem Love arahan Kabir Bhatia yang dijayakan pelakon terkenal Indonesia.

Persetujuan membawa masuk filem ini juga diambil selepas melakukan tinjauan dan menunjukkan ramai yang tidak sabar menontonnya apabila dimaklumkan kehadiran sekuelnya. Ramai juga berkongsi trailer filem ini di laman sosial selepas dilancarkan bulan lalu.

Mampukah AADC2 menarik minat penonton ke panggung menyaksikan kisah Cinta dan Rangga? Atau pun filem ini mengalami nasib sama seperti Aach...Aku Jatuh Cinta yang kurang sambutan ketika ditayangkan 17 Mac lalu?

Mungkin gandingan Chicco Jerikho dan Pevita Pearce dalam Aach...Aku Jatuh Cinta agak asing bagi penonton Malaysia, malah promosi untuk filem usahasama Malaysia-Indonesia ini juga kurang hingga kehadirannya di pawagam kurang disedari.

Berbeza dengan AADC2, nama Dian dan Nicholas cukup kuat dan promosinya juga sudah bermula dari awal untuk memastikan ia sekali lagi mampu mencatat fenomena.

Nicholas turut dibawa khas dari Jakarta untuk hadir di majlis Media Prima Screening 2016, Rabu lalu dan malam gala filem ini pula diadakan pada 26 April ini menyaksikan kehadiran pelakon utamanya bersama pengarah, Riri Riza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:40 AM