SHAH mahu berbulan madu ke Korea Selatan sebelum ke Greece.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Sejak bergelar suami pada 16 Januari lalu, tidak banyak kisah dikongsikan pelakon Shah Iskandar Mahfuz, 33, mengenai kehidupan barunya dengan isteri, Siti Sarah Mohd Noor, 30.

Bertemu Shah ketika majlis resepsi mereka di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam minggu lalu, Shah akui bukan sengaja merahsiakan atau tiada kisah menarik untuk dikongsikan dengan peminat.

Katanya, kesibukan mengurus kerjaya masing-masing membuatkan mereka tiada nilai berita buat masa ini. Selepas berkahwin, kehidupan mereka sama sahaja kerana masing-masing sibuk.

“Saya sibuk di lokasi penggambaran, Sarah pula sibuk urus syarikat. Sebab itu saya rasa tiada perbezaan ketara buat masa ini. Lagipun selepas bernikah, kami hanya sempat bercuti sekejap sahaja,” katanya.

Biarpun kini tiada perubahan dari segi kerjaya dan masa, Shah Iskandar akui kehidupan di rumah tetap ada perbezaan.

Pelakon kelahiran Singapura ini akui kehidupannya kini tenang. Dulu dia hanya berseorangan mengemas diri dan rumah tapi kini masing-masing ambil peranan untuk menjaga rumah tangga termasuk mengemas dan memasak.

“Sejak berkahwin, saya perlu faham istilah berkongsi ruang dan tanggungjawab untuk membeli barang keperluan rumah.

“Saya dapat rasai situasi itu benar-benar membuatkan saya kini lebih faham maksud berkeluarga,” katanya.

Walaupun hanya sempat ambil cuti kahwin beberapa hari, Shah akui ada perancangan untuk bercuti berbulan madu pada Jun atau Disember depan bergantung pada jadual kerja mereka.

Buat masa ini katanya, jadual kerjanya memang padat dan setakat ini sibuk melangsaikan beberapa projek drama dan telefilem sehingga Julai depan.

“Saya kini sibuk di set penggambaran drama bersiri Seharum Rindu musim kedua untuk siaran RTM,” katanya.

Antara destinasi pilihan mereka ialah Korea Selatan. Kata Shah, ada cerita di sebaliknya kerana di sana ada lokasi popular pasangan kekasih dikenali sebagai N Seoul Tower.

“Kami pernah memasang mangga ‘kunci cinta’ sebagai lambang cinta. Jadi, sebagai simbolik kononnya nampak romantik, kami mahu buka semula mangga kunci itu sebab dah berkahwin,” katanya ketawa.

Selepas Korea Selatan, Shah juga meluahkan keinginan untuk merealisasikan impiannya berbulan madu ke Athens, Greece.

Katanya, dia memilih Greece kerana sewaktu zaman bujang dia sering berangan-angan untuk membawa sesiapa saja yang menjadi jodohnya pada masa depan ke sana. Selepas bertemu dengan Sarah, dia mahu memenuhi angan-angannya.

Mereka juga menyimpan hasrat untuk bercuti ke negara lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun sambil melawat saudara mara yang menetap di sana.

Seronok berbual mengenai perancangan berbulan madu, Shah menafikan dakwaan beberapa pihak mengatakan isterinya mengandung.

“Dia (Sarah) belum mengandung. Kalau benar ada, kami tidak tolak rezeki itu sebab tidak pernah merancang untuk dapatkan anak.

“Kalau boleh, kami nak anak empat orang, barulah meriah rumah!” katanya.

Shah juga akui selepas berkahwin, tawaran berlakon tidak putus. Katanya, dia juga tidak berhasrat mahu memperlahankan rentak dalam dunia hiburan.

Buat masa ini dia akan terus sibukkan diri di set penggambaran. Apabila dikurniakan anak, baru dia akan cuba untuk lebih memilih karya.

Mengenai kontroversi yang melanda isterinya tidak lama selepas mereka berkahwin, Shah menyangkal apa yang diperkatakan itu.

Dalam ruangan Cik Pang awal Januari lalu, Sarah didakwa terpalit dengan skandal hutang syarikat bersama kakaknya dengan beberapa pihak bernilai jutaan ringgit.

Malah seorang individu yang mendakwa rakan pelakon itu turut menjadi mangsa penipuan dan meluahkan rasa kecewa kerana Shah enggan masuk campur untuk membantu dalam urusan antara mereka.

“Saya tegaskan di sini, isu yang diperkatakan sebelum ini sebenarnya tidak wujud pun. Jadi, saya tidak ada apa-apa yang nak diperkatakan lagi,” katanya.

Kata Shah, pada masa ini dia hanya mahu fokus pada pembinaan keluarga dan tidak mahu campur tangan dalam urusan syarikat isterinya kecuali jika diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:30 AM