ANTARA penunggang motosikal yang ditahan. FOTO ihsan pembaca
Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Seramai 340 penunggang motosikal ditahan sempena Ops Samseng Jalanan diadakan di Lebuh Raya Darulaman di Jalan Alor Kanchut, di sini, awal pagi ini kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk menunggang secara berbahaya dan berkumpulan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, daripada jumlah yang ditahan itu sebanyak 143 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan.

"Operasi bermula jam 1 pagi hingga 6 pagi itu disertai dua pegawai dan 28 anggota polis trafik dari Cawangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, IPD Kubang Pasu dan IPD Padang Terap.

"Tumpuan operasi bagi mengesan penunggang motosikal yang menunggang secara merbahaya dan berkumpulan di atas jalan raya di sekitar bandaraya ini selain menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan pada malam minggu," katanya.

Katanya, dalam operasi itu sebanyak 270 motosikal turut diperiksa, manakala 69 buah motosikal disita kerana tiada lesen memandu, insurans dan cukai jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 11:25 AM