CAWANGAN Butik Ratu yang pertama dibuka di Setapak, Kuala Lumpur.
myMetro

Bermula dengan menjual tudung, Galeri Hijab dan Busana Ratu (Butik Ratu) yang ditubuhkan pada 2008 terus kukuh dan berdaya saing biarpun terdapat lambakan jenama baharu muncul di pasaran.

Nama Ratu diambil bagi menggambarkan sempurna, anggun, cantik dan mempersona supaya pemakai koleksinya kelihatan umpana Ratu.

Diasaskan Juwita Abdullah, kini Butik Ratu mengorak langkah apabila bukan sahaja menjual koleksi tudung di bawah jenama Ratu, malah menjadi pusat sehenti untuk mendapatkan kelengkapan pakaian Muslimah.

Bermodalkan RM200,000 untuk membuka rangkaian pertama di Setapak, permintaan terhadap keluaran koleksi Butik Ratu meningkat dan membolehkan cawangan kedua dibuka di Bangi pada 2009 diikuti Kelantan pada 2013 serta Ipoh dan Sungai Petani, Kedah pada 2014.

Berdepan pelbagai cabaran, Butik Ratu tetap meneruskan misi dan visinya menawarkan pakaian Muslimah berkualiti pada harga mampu milik.

Tidak hanya memfokus pada tudung, Butik Ratu pada 2011 mempelbagaikan koleksi dengan memperkenalkan jubah dan pakaian Muslimah.

Menurut Juwita, pernah melalui pengalaman koleksi tudungnya ditiru dan ditipu pembekal, beliau tidak menoleh ke belakang dan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk memajukan lagi Butik Ratu.

Mempunyai pelanggan yang setia, itu adalah faktor utama Butik Ratu berjaya mengukuhkan kedudukan di pasaran negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 7:01 AM