SEKUMPULAN penduduk membawa mayat mangsa bot karam di pantai di Sittwe.
AFP

Yangon: Sekurang-kurangnya 21 etnik Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak maut selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan negeri Rakhine, Myanmar kelmarin, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Jurucakap Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (UNOCHA) di Myanmar, Pierre Peron berkata, bot berkenaan membawa kira-kira 60 penumpang dari sebuah kem penempatan ke sebuah pasar.

“Majoriti penumpang adalah etnik Rohingya dari kem Sin Tet Maw di Pauktaw.

“Mereka semua mendapat kebenaran untuk pergi ke sebuah pasar di Sittwe bagi membeli barangan keperluan,” katanya.

Menurutnya, jumlah kematian dijangka meningkat kerana ramai penumpang yang masih gagal dikesan.

Seorang pegawai tentera di Rakhine mengesahkan kejadian itu, tetapi memberitahu jumlah mangsa yang maut hanya 14 orang.

“Bot itu karam akibat ombak besar,” katanya.

Sementara itu, aktivis Rohingya, Kyaw Hla Aung berkata, tragedi berlaku kerana kerajaan menghalang mereka menggunakan jalan darat menyebabkan mangsa terpaksa menggunakan jalan laut untuk ke bandar.

“Kami tidak dibenarkan menggunakan pengangkutan darat ke Sittwe untuk membeli barangan dan perubatan,” katanya.

Menurutnya, penumpang menerima kebenaran khas bagi menaiki bot menyusuri sungai sebelum perjalanan beberapa kilometer di laut untuk ke Sittwe.

Seorang lelaki Rohingya, Tin Hla yang tinggal di kem Sin Tet Maw berkata, anaknya antara penumpang yang hilang dalam tragedi itu.

“Apabila kami mahu pergi ke Sittwe kami terpaksa menggunakan laluan yang bahaya iaitu melalui laut.

Etnik Rohingya yang beragama Islam tidak diiktiraf kerakyatan mereka oleh kerajaan Myanmar dan sering menjadi mangsa penindasan serta perkauman di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 8:13 AM