IBRAHIMOVIC (tengah) jaring gol tunggal PSG.
AFP

Paris: Zlatan Ibrahimovic meledak satu gol menakjubkan apabila Paris Saint-Germain mengatasi Lorient 1-0 di laman lawan pada separuh akhir Piala Perancis, awal pagi semalam.

Penyandang juara piala dan juara Ligue 1 itu kini berdepan sama ada kelab divisyen dua Sochaux atau musuh tradisi Marseille pada final.

Kelab Paris itu mengintai peluang menyapu bersih kejuaraan domestik di Perancis buat musim kedua berturut-turut dan bertemu Lille pada final Piala Liga hujung minggu ini.

Ibrahimovic menyambut hantaran Angel Di Maria dan berlari terus ke arah gol dari jarak 35 meter sebelum melakukan sepakan lencong mengatasi penjaga gol Lorient Benjamin Lecomte dari penjuru kotak penalti pada minit ke-75.

Setiap orang menjangkakan bintang Sweden itu mahu melakukan hantaran namun sebaliknya dia menyumbat gol ke-43 dalam semua pertandingan musim ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 5:54 AM