Seramai 20.62 juta rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial.

Kuala Lumpur: Seramai 22 pemilik akaun laman sosial, laman sesawang dan blog didakwa kerana salah guna medium berkenaan untuk pelbagai tujuan sejak 2010 hingga Mac 2016, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata, sehingga Mac lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat 32 kes salah guna internet dan media baru mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kesalahan yang dilakukan seperti penyebaran fitnah atau berita palsu menggunakan platform internet adalah tertakluk kepada undang-undang sedia ada seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan (Akta 574) selain Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya pada Persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Boon Som a/l Inong mengenai jumlah akses internet di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu, serta

bilangan rakyat Malaysia yang memiliki akaun media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram.

Jailani berkata, 20.62 juta rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial sehingga Januari tahun ini, dan kerajaan tidak berhasrat menyekat laman media sosial antarabangsa seperti Facebook, Telegram dan WhatsApp kerana rakyat Malaysia secara umumnya menggunakan kemudahan itu secara berhemah termasuk untuk aktiviti keusahawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 8:16 PM