KILANG yang terbakar. FOTO ihsan Bomba
Naimah Mohamad
am@hmetro.com.my


Kapar: Sebuah kilang musnah manakala dua lagi diselamatkan sebahagiannya dalam kebakaran di Lorong Sungai Puloh di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, kilang yang dijadikan stor menyimpan bahan kimia methanol musnah manakala satu lagi stor menyimpan rim kereta dan kilang memproses makanan ternakan diselamatkan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.13 tengah hari sebelum tiga pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Andalas serta Pelabuhan Klang ke tempat kejadian.

"Jentera pertama tiba kira-kira 30 minit selepas itu dan mendapati api sedang marak di stor menyimpan bahan kimia berkenaan.

"Bomba mengawal kebakaran pada 1.23 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian," katanya.

Mohd Sani berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:56 PM