Mohd Faisal menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Syamil
Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Serbuan di rumah di Pantai Dalam, di sini, semalam, membongkar kegiatan lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai ‘tokan’ ganja selepas polis menemui 14 ketulan mampat ganja yang disembunyikan dalam but keretanya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Superintendan Mohd Faisal Yahya berkata, lelaki yang tinggal di rumah itu bersendirian dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar ibu kota sejak enam bulan lalu.

"Selepas disoal siasat uspek kemudian menunjukkan kereta jenis Honda Civic miliknya yang dijadikan tempat penyimpanan dadah.

"Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui 14 ketulan mampat dipercayai ganja di dalam sebuah kotak yang disimpan di but kenderaan itu yang nilainya dianggarkan RM30,800, " katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:41 PM