ANTARA wang tunai dan barang kemas yang dirampas. FOTO Siraj Mohd Zaini
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Polis menahan lelaki kerana dipercayai menyamun pasar raya mini di Kota Kemuning, 1.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian 8.30 pagi itu, suspek berusia 23 tahun yang bertopeng dan memakai topi keledar serta bersenjatakan parang dipercayai menunggu sehingga premis dibuka oleh pengurus.

Menurutnya, suspek telah memaksa pengurus terbabit menyerahkan wang yang disimpan di dalam bilik khas di premis berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek adalah bekas pekerja di pasar raya mini itudan serbuan di rumahnya di Kampung Johan Setia, Klang, menemui wang tunai RM7,000 serta beberapa kotak rokok dipercayai hasil samun premis berkenaan.

"Turut ditemui beberapa barang kemas yang dibeli dipercayai untuk diberikan kepada isterinya menggunakan wang samun terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM13,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 1:21 PM