DARI kiri Bobo, Boboy, Zaid, Mia, Didy dan Iman.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Legasi muzik rock Malaysia kini bakal diteruskan dengan kehadiran band generasi baru RockAges yang menampilkan muzik rock moden.

RockAges yang juga band pilihan Samsung Malaysia untuk ditampilkan sebagai bakat baru jenama itu membariskan ‘line up’ muda berusia sembilan hingga 19 tahun iaitu Mia selaku penyanyi, Zaid (penyanyi dan keyboard), Iman (gitar), Didy (gitar), Bobo (bass) dan Boboy (dram).

Mia berkata, mereka tidak sangka terpilih sebagai salah satu band yang diangkat Samsung Malaysia untuk menerbitkan lagu.

“Single pertama kami berjudul Cinta LRT dicipta sepenuhnya oleh Zaid. Lagu ini menjadi lagu tema untuk mempromosikan Samsung di stesen LRT terpilih,” katanya.

Bakat RockAges sebelum ini dicungkil oleh pengarah terkenal Mamat Khalid selepas dia menonton bakat mereka di YouTube.

“Di YouTube, kami ada memuat naik video sesi ‘jamming’. Dari situ, Mamat ternampak bakat kami dan menjemput untuk membuat persembahan di restoran miliknya Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak.

“Alhamdulillah, untuk persembahan pertama itu, ramai juga yang memberikan reaksi positif. Ketika itu, kami mempersembahkan beberapa lagu cover antaranya Kesal nyanyian asal Ella, Jangan Tinggal Daku (Amuk) dan Selebriti (Kotak),” katanya.

RockAges banyak mengambil pengaruh muzik daripada band popular di Barat seperti Metallica, Slipknot, Korn dan Lamb Of God.

Mia berkata, selain menampilkan penyanyi wanita, RockAges turut memiliki keunikan tersendiri terutama dari segi muzik dan kemampuan mereka bermain alat muzik secara ‘live’.

“Saya tidak nafikan penyanyi rock wanita memang ramai, tetapi yakin saya ada kelainan dan cara nyanyian tersendiri. Jiwa saya sangat mendalam dengan muzik rock dan itu juga menjadi kekuatan,” katanya.

Dalam pada itu, RockAges juga bakal muncul dengan single kedua berjudul Aku Di Sini yang juga nyanyian asal Noor Kumalasari.

“Kami akan susun semula muziknya dalam versi rock moden. Untuk lagu ini, kami bekerjasama dengan Jeff A To Z dengan menyelitkan elemen hip hop,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 9:10 AM