Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usia bukan faktor penghalang kepada ratu skuasy negara Datuk Nicol David (gambar) untuk kembali bergelar juara dunia terutama ketika Kejohanan Skuasy Wanita Dunia bakal berlangsung di tanah air sendiri.

Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) Huang Ying How berkata, Nicol berada pada prestasi terbaik ketika ini dan cukup bersedia untuk beraksi di kejohanan yang akan membuka tirainya di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ying How bagaimana tidak mahu orang ramai terutama peminat skuasy tanah air meletakkan harapan tinggi buat Nicol kerana pasti akan menyebabkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu tertekan.

“Beraksi di tempat sendiri sebenarnya memberi tekanan kepada Nicol. Bukan Nicol saja tapi saya rasa untuk semua pemain tempatan.

“Tapi saya yakin Nicol mampu memberikan saingan kerana persediaan dijalaninya cukup bagus dan saya langsung tidak bimbang dengan prestasi Nicol. Bukan satu yang mustahil buat Nicol muncul juara,” katanya.

Berdasarkan laporan diterima SRAM berhubung prestasi terkini Nicol, Ying How berkata, pemain itu berada dalam keadaan baik dan tidak berdepan sebarang masalah dari segi fizikal atau mental.

Namun rentetan kekalahan dialami Nicol adalah disebabkan kehadiran beberapa pemain handalan terutama dari Mesir.

Nicol berdepan laluan berliku dalam mempertahankan kejuaraan apabila perlu berdepan pemain Australia Rachael Grinham yang berada di ranking ke-20 dunia pada pusingan pertama.

Menantinya pada suku akhir Nour El Sherbini dari Mesir, pemain yang menewaskannya buat kali keempat berturut-turut dalam sembilan pertemuan keseluruhan.

Terbaru, pemain Mesir yang berada di tangga kelima dunia itu menewaskan Nicol pada separuh akhir Terbuka British sekali gus menjanjikan cabaran sengit di Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 7:28 AM