Mat Yo (kiri) bersaing dengan Thiago Junio De Aquino (kanan) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS.
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Episod duka terus menghantui skuad Terengganu apabila tewas 3-2 kepada Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak malam ini.

Bagaimanapun skuad dikenali jolokon Peteh Terengganu Peteh itu bermula garang apabila mendapat peluang pertama pada minit ke-3 perlawanan menerusi Mohd Fakhrurazi Musa namun berjaya dipatahkan pertahanan Perak.

Pelawat yang bakal membuat perhitungan dengan Selangor PKNS dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA pada 30 April ini juga tidak ketinggalan menguji pintu gol tuan rumah pada minit ke-10 menerusi pemain import Vokhid Shodiev yang berjaya dihalang penjaga gol muda Mohd Amierul Hakimi Awang.

Selepas dua percubaan menarik itu daripada kedua-dua pasukan corak permainan yang sepatutnya lebih pantas bertukar hambar dan bola hanya berlegar di kawasan tengah.

Namun ketika perlawanan memasuki m-24 kelekaan benteng pertahanan tuan rumah yang diketuai Hairuddin Omar dihukum pemain pelawat dengan jaringan pendahuluan menerusi Mohd Fazrul Hazli Kadri yang mudah menolak masuk hantaran kapten Thiago Junio De Aquino.

Tersentak jaringan skuad The Bos Gaurus itu barisan pemain skuad Penyu yang memerlukan kemenangan bagi mengelak mesyuarat agung luar biasa (EGM) sebagaimana diminta kerajaan negeri jika terus mencipta kekalahan tidak menunggu lama apabila mendapat sepakan penalti pada m-27 disempurnakan Issey Nakajima Farran.

Bersambung babak kedua aksi kedua pasukan-dua pasukan bertambah rancak dengan asakan bertali arus ke kubu lawan masing-masing untuk menambah jaringan.

Pada m-56 pelawat dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Syed Azhar Syed Kamar dan sepakan yang diambil Elias Fernandes De Oliveira berjaya menghasilkan jaringan kedua skuad Perak.

Skuad Penyu yang menurunkan ramai pemain simpanan berpeluang untuk menyamakan kedudukan namun tidak bernasib baik apabila rembatan Mohd Fakhrurazi m-61 terkena palang.

Selepas jaringan kedua itu aksi bertenaga terus dipamerkan skuad The Bos Gaurus dan hampir menambah jaringan ketiga namun tandukan Mohd Fazrul Hazli juga terkena palang.

Penyerang import pelawat Oliveira menambah derita pasukan tuan rumah apabila meledak jaringan kedua peribadi m-56 dan sembilan minit kemudian untuk gol ketiga pasukannya.

Pasukan Terengganu tidak berputus asa memasukkan pemain import Juan Jose Morales dan pemain itu berjaya menghasilkan jaringan namun dibatalkan pengadil kerana terlebih dahulu berkedudukan ofsaid.

Hasrat tuan rumah untuk merapatkan kedudukan berhasil apabila Issey Nakajima merembat kencang jaringan kedua tuan rumah pada m-85 namun jaringan itu sudah terlambat dan gagal mengubah keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 11:32 PM