Kayu balak yang siap dipotong pembalak haram di Hutan Simpan Rasau, Dungun, yang dirampas tahun lalu. - Foto Fail
BERNAMA

Setiu: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu merampas 24 jentera dan kayu balak bernilai RM3.5 juta sepanjang Januari hingga April tahun ini.

Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Azmi Nordin berkata dalam tempoh itu juga, pihaknya menahan 15 suspek kerana pelbagai kesalahan.

"Tahun ini kita rampas 24 jentera dengan nilai kira-kira RM3 juta dan kayu balak kira-kira RM500,000 di kawasan yang menjadi tumpuan pembalak haram iaitu Hulu Besut dan Hulu Dungun.

"Tahun lalu, kita merampas 14 jentera bernilai RM1.5 juta dan 56 suspek ditahan," katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee.

Pihaknya mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang memberi maklumat kegiatan pembalakan haram di negeri ini.

"Jabatan Perhutanan menghadapi kekangan dari segi kakitangan dan kenderaan. Kerjasama dan maklumat orang awam banyak membantu menumpaskan sindiket pembalakan haram.

"Kita juga mengaplikasikan teknologi imej satelit serta pemantauan dari udara menggunakan helikopter secara berkala bagi tujuan penguatkuasaan dan pemantauan," katanya.

Sementara itu, Mohd Jidin berkata kerajaan negeri juga bersetuju membantu jabatan tersebut untuk membeli pesawat tanpa pemandu (UAC) atau 'drone' bagi membantu melicinkan operasi jabatan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:14 PM