KAPAL tunda TB Henry yang dinaiki kumpulan bersenjata dan menculik empat warga Indonesia di perairan Sitangkai, Kepulauan Tawi-Tawi, selatan Filipina. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Pasukan keselamatan bersedia menghulurkan bantuan dengan mengiringi bot tunda TB Henry pulang ke Indonesia sebaik siasatan berkaitan kes serangan kumpulan bersenjata, Jumaat lalu, selesai.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, tugas mengiring itu akan dilakukan sekiranya terdapat permintaan daripada kerajaan Indonesia.

"Bagaimanapun, setakat ini kita tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negara jiran tetapi pasukan keselamatan bersedia membantu sekiranya diperlukan.

"Sekiranya ada, kita akan membantu memastikan semua kru TB Henry selamat tiba ke negara mereka," katanya ketika menghadiri Program Bicara Agama dan Keselamatan di Wisma MUIS, pagi ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, polis masih memperhalusi rakaman keterangan daripada lima kru bot TB Henry yang terselamat dalam kejadian di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Tawi-Tawi, Fipilina.

"Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan secara tergesa-gesa termasuk dakwaan suspek adalah kumpulan sama yang menculik empat rakyat tempatan di Pulau Ligitan, Semporna pada 1 April lalu.

"Biar kita selesaikan siasatan terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 2:00 PM