HUJAN antara band rock berbakat tanah air.
PEMINAT terhibur dengan persembahan Hujan.
PEMINAT terhibur dengan persembahan Hujan.
HUJAN keluarkan lagu yang sudah lama dicipta untuk album baru mereka.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Persembahan istimewa kumpulan Hujan sempena pelancaran album studio kelima mereka di Slate at the Row, Kuala Lumpur, Jumaat lalu menerima sambutan hangat peminat.

Persembahan eksklusif anjuran Hotlink itu dihadiri peminat bertuah yang memenangi pas percuma daripada syarikat telekomunikasi berkenaan.

Pada persembahan itu, anggota Hujan iaitu Noh (penyanyi, gitar), AG Coco (gitar), Izzat Uzaini (bass) dan Azham Ahmad (dram) menghiburkan peminat dengan 12 lagu daripada album lama dan baru.

Beberapa lagu daripada album baru berjudul Jika Sempat yang dipilih untuk persembahan malam itu adalah Pemicu Gila, Biarkan Saja, Kamar Sepi, Jangan Lupakan Aku dan Miri.

Peminat turut dibawa mengimbau kembali kenangan perjalanan seni Hujan menerusi lagu hit Lamunan Terhenti, Overture, Kotak Hati, Aku Scandal dan Empayarmu.

Terdahulu pada sidang media, Noh berkata, album baru itu memuatkan 10 lagu lama yang disimpan sejak awal kemunculan Hujan dan belum diperdengarkan kepada umum.

“Banyak lagu yang saya tulis tidak pernah dikeluarkan, jadi kami mengambil keputusan untuk menggunakan lagu ini dalam album baru.

“Hanya dua lagu baru iaitu Pemicu Gila dan Kau,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 31 tahun itu, setiap lagu mempunyai keistimewaan tersendiri dan mengimbau kembali perjalan Hujan sepanjang satu dekad bertapak dalam industri muzik tanah air.

“Anggota Hujan memberi kepercayaan kepada AG untuk menerbitkan album ini memandangkan dia pernah menghasilkan lagu untuk beberapa nama besar seperti Yuna.

“Semua 10 lagu ini diberi sentuhan baru oleh AG dan proses rakaman hanya mengambil masa lebih seminggu untuk selesai,” katanya.

Mempertaruhkan Jika Sempat sebagai single pertama, Noh berkata buat masa ini, album itu hanya boleh didapati menerusi aplikasi Spotify sebelum album fizikal dijual di pasaran.

“Kami tidak mahu mengikut trend kebanyakan penyanyi sekarang yang memilih mengeluarkan single.

“Sejak penubuhan, Hujan mengeluarkan album setiap tahun dan yang terakhir pada 2012. Namun kami tidak mahu terburu-buru dan menunggu masa sesuai untuk album baru ini,” katanya.

Album untuk kepuasan sendiri

Noh turut menggambarkan album itu sebagai karya ‘syok’ sendiri kerana menghasilkan lagu demi kepuasan sebagai pemuzik.

“Secara peribadi saya berpuas hati dengan album ini kerana lagunya melambangkan pelbagai kenangan manis Hujan.

“Memang kami cipta lagu untuk kepuasan sendiri dan bukan untuk peminat. Kami percaya apabila seronok dan ikhlas dengan muzik yang dicipta pasti dapat berjaya.

Bercerita lanjut, penyanyi itu berkata single Jika Sempat cukup istimewa kerana menjalani proses ‘mastering’ di studio terkemuka Sterling Sound di New York, Amerika Syarikat.

“Studio itu dipilih kerana mahu sentuhan terbaik untuk Jika Sempat. Kalau boleh kami mahu semua lagu dalam album berkenaan dibuat di sana namun itu sahaja kemampuan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 9:00 AM