USAHA mencari mangsa yang mungkin tertimbus di Minami-Aso.
PASUKAN penyelamat cuba menggali keluar sebuah kenderaan yang tertimbus dalam lumpur akibat tanah runtuh di Minamiaso, barat Jepun, semalam.
Agensi

Minami-Aso: Jepun semalam mendapatkan bantuan Amerik Syarikat untuk mengangkut bekalan kepada kira-kira 100,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi di selatan negara itu.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang mungkin terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku akibat gempa Sabtu lalu.

Sebahagian besar penduduk yang dipindahkan selepas rumah mereka rosak atau musnah terpaksa menumpang di pusat perlindungan sementara.

Kira-kira 10,000 lagi terpaksa bermalam di dalam kereta masing-masing di tempat parkir dewan pameran di bandar Mashiki.

Bagaimanapun, media melaporkan, usaha untuk menghantar makanan dan bekalan kecemasan lain berdepan dengan kesukaran.

Jepun juga mengerahkan sehingga 25,000 askarnya dan pegawai lain ke kawasan yang teruk terjejas akibat gempa 7.0 magnitud itu Sabtu lalu.

Sembilan orang masih hilang, dipercayai ditimbus tanah runtuh selepas gempa melanda pulau Kyushu.

Gempa pertama Khamis lalu, berukuran 6.2 magnitud menjejaskan beberapa bangunan lama dan menyebabkan sembilan mati.

Bagaimanapun, gempa kedua pada Sabtu lebih kuat sehingga menyebabkan beberapa bangunan baru runtuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:57 AM