GLASGOW 27 July 2014. Gaya pemenang pingat emas sukan Komanwel acara angkat berat 69kg Mohd Hafifi Mansor di Clyde Auditorium. NSTP/Rosli Ahmad
myMetro

Kuala Lumpur: Latihan intensif selama tiga bulan di China memberi tanda positif buat atlet angkat berat negara Hafifi Mansor untuk berjuang memburu slot ke temasya Olimpik Rio, Ogos ini.

Hafifi berada dalam keadaan terbaik sebelum berlepas ke Uzbekistan Rabu ini dari China apabila berjaya merekod angkatan 185 kilogram dalam acara clean and jerk pada kejohanan mini di China, kelmarin.

Menurutnya, angkatan itu memungkinkannya berada dalam senarai kedudukan pingat apabila turun beraksi pada Kejohanan Asia di Uzbekistan hujung minggu ini.

Beraksi dalam kategori 69kg, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow itu berkata, latihan di China banyak membantu meningkatkan prestasinya dan terbukti apabila dia berjaya memperbaiki rekod kebangsaan yang sebelum ini dilakukan ketika Kejohanan Kebangsaan di Sabah iaitu 182kg dalam acara clean and jerk.

“Berdasarkan prestasi semasa dan latihan di China banyak membantu saya dan saya yakin untuk menghadiahkan pingat buat negara namun tidak berani janji warna apa.

“Ketika ini saya berjaya mengangkat 145kg dalam acara snatch dan 185kg clean and jerk dengan jumlah angkatan 330kg,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:20 AM