BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua suspek penemuan tujuh bom di kondominium di Damansara Perdana, dekat sini, semalam, dipercayai pengedar dadah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang diburu adalah rakyat tempatan dikenali sebagai Ah Chong, 37, dan wanita berumur 39 tahun.

"Kita percaya mereka tiada kaitan dengan Daesh atau kumpulan pengganas lain kerana ia lebih kepada kegiatan pengedaran dadah dan pinjaman wang," katanya dalam sidang media sempena perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman di sini, hari ini.

Dalam sidang media berasingan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, polis Selangor dan Kuala Lumpur akan bekerjasama mengesan suspek.

“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau di kedua-dua negeri ini," katanya selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari ini.

Dalam serbuan di sebuah kondominium di Damansara Perdana pada 4.30 pagi semalam, suspek berjaya melarikan diri dan polis menemui tujuh bom tangan berbentuk mercun bersama alatan elektronik, dadah yang disyaki syabu seberat dua kilogram dan sejumlah pil Eramin 5 dalam kondominium itu.

Siasatan awal polis mendapati suspek disyaki terbabit dalam kes pukul dan membakar rumah seorang individu di Sri Petaling kira-kira 1.30 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:54 PM