AKSES pendidikan diberikan secara percuma kepada pelajar di peringkat rendah.
SISTEM pendidikan di Norway menyaksikan pelajar peringkat rendah hanya didedahkan dengan pembelajaran berbentuk permainan pendidikan, sosial dan mengira.
PENDEDAHAN diberikan kepada pelajar secara meluas dan tidak tertumpu kepada bersifat akademik semata - mata.
Agensi

Norway bukan saja menjadi negara yang mempunyai kepadatan penduduk di Eropah malah turut memiliki sistem pendidikan antara efektif di dunia.

Pendidikan di negara itu adalah selama 10 tahun bermula dari pendidikan rendah, menengah dan tinggi.

Bagi membolehkan masyarakatnya mengakses pendidikan dengan lebih efisien di semua peringkat umur, pejabat pendidikan disediakan di setiap daerah.

Pendidikan rendah di negara itu adalah percuma sementara pembiayaan di peringkat menengah ke atas juga tidak tinggi.

“Ini antara satu kelebihan negara kami untuk memastikan pendidikan mampu dinikmati semua golongan.

“Akses terhadap pendidikan juga antara agenda penting negara dalam membangunkan masyarakat Norway ke arah lebih berpendidikan selain membuka pintu masyarakat luar melanjutkan pengajian di sini.

“Pertukaran maklumat pendidikan membolehkan Norway membangunkan sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia,” kata pakar penyelidikan Norway, Christopher Adaku.

Pendidikan di Norway juga menekankan prinsip kesamaan hak terhadap pendidikan bagi semua masyarakat tanpa mengira latar belakang, budaya atau tempat tinggal.

Sekolah memainkan peranan penting untuk menyampaikan pengetahuan, budaya, memajukan mobiliti sosial selain pembangunan teknologi dan inovasi.

Sejak tahun 1947 lagi negara itu sudah memberikan pinjaman pada pelajar di institusi pengajian tinggi untuk membiayai kehidupan mereka mengikuti program pendidikan hingga ke peringkat tertinggi termasuk ke luar negara.

Kewujudan sekolah swasta turut memberi sistem tambahan dari sistem sekolah umum dengan pemantauan ketat daripada badan pendidikan dan profesional.

Bagaimanapun, sekolah swasta turut memperoleh kelebihan seperti sekolah umum termasuk memperoleh bantuan daripada Kementerian Pendidikan Norway.

Sistem pendidikan di Norway menyaksikan, pelajar pada peringkat sekolah rendah hanya didedahkan dengan pembelajaran berbentuk permainan pendidikan, sosial dan mengira.

Pelajar pada usia empat hingga 13 tahun sudah dibiasakan dengan subjek Matematik, sejarah, bahasa dan olahraga.

Tiada peperiksaan diberikan kecuali penilaian khusus diberikan kepada ibu bapa.

Sementara pada peringkat pendidikan tinggi, Norway mempunyai lapan universiti, dua pusat pendidikan kebangsaan dalam sastera dan 25 kolej universiti.

Semua program ditawarkan adalah meluas merangkumi pelbagai disiplin.

Semua universiti berkenaan diberi dana pembiayaan oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 12:02 PM