PEMAIN negara Rashid Baharom (tengah) cuba melepasi halangan dua pemain New Zealand.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Ipoh: Penamat keempat diraih skuad hoki negara pada edisi ke-25 Piala Sultan Azlan Shah yang berakhir kelmarin boleh dianggap satu pencapaian yang agak memberangsangkan.

Ini kerana, pencapaian skuad bimbingan Stephen Van Huizen (gambar) itu tidak sepatutnya hanya dinilai berdasarkan kepada angka empat, sebaliknya perlu dilihat kepada skop yang lebih besar.

Bayangkanlah bagaimana Stephen mampu membentuk sebuah pasukan boleh dianggap serba baharu dengan menyenaraikan hampir separuh pemain muda pada kejohanan disertai empat pasukan yang sudah layak beraksi di Sukan Olimpik Rio, Ogos ini.

Beliau hanya mempunyai masa kira-kira lima bulan bermula November lalu untuk membentuk semula pasukan selepas ketiadaan beberapa pemain utama yang mengambil keputusan untuk bersara selain tidak terpilih dalam kem latihan.

Kecuali kekalahan besar 1-6 kepada India pada perlawanan terakhir liga sepusingan, semua perlawanan dihadapi Malaysia wajar menerima pujian kerana jelas barisan pemain muda negara mempunyai jiwa besar untuk sekurang-kurangnya bersaing dengan lawan yang jauh lebih hebat.

“Kerja keras setiap pemain berhasil memenuhi sasaran asal pasukan yang mahu menduduki kelompok empat terbaik.

“Ada ketika pemain beraksi dengan begitu cemerlang dan kemudian sebaliknya, tapi saya anggap ia perkara normal kerana pasukan ini sedang mencari kombinasi terbaik antara pemain senior dan baharu.

“Proses untuk mencatat kejayaan memakan masa dan peminat perlu bersabar. Apa yang penting kami sudah mempunyai asas yang baik,” kata Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Terry Walsh.

Jelas Walsh, beliau mahu peminat hoki di negara ini mempercayai skuad sedia ada kini mampu menjadi pasukan digeruni bagi tempoh beberapa tahun lagi.

“Kami tidak hanya menyasarkan untuk menjadi yang terbaik di Asia. Saya percaya skuad negara boleh menjadi pasukan gergasi dunia seperti Australia satu hari nanti.

“Malaysia berpotensi berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia. Pada masa sama kami juga berusaha untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 dan Piala Dunia 2018,” katanya.

Skuad negara tewas menerusi penentuan penalti 4-5 kepada New Zealand pada perlawanan penentuan tempat ketiga-keempat kelmarin selepas seri 3-3 dalam tempoh sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:41 AM