Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat penerjun negara untuk menyumbang pingat pada pusingan ketiga Siri Kejohanan Terjun Dunia FINA di Kanada tidak kesampaian apabila Pandelela Rinong (gambar) sekadar menamatkan saingan acara 10m platform individu di kedudukan keempat.

Kejohanan di Windsor itu menyaksikan Pandelela mengumpul 355.80 mata tewas kepada penerjun China Qian Ren yang meraih 445.25 mata untuk pingat emas.

Terjunan konsisten Roseline Filion membolehkan atlet Kanada itu memperbaiki kedudukan melonjak dari tempat keempat ke kedudukan kedua pada terjunan keempat untuk meraih perak selepas mengumpul 378.85 mata.

Manakala kelebihan 23.05 mata menyaksikan Meaghan Benfeito dari Kanada mengatasi Pandelela untuk pingat gangsa.

Terdahulu Pandelela yang turun bergandingan dengan Leong Mun Yee turut gagal meraih pingat acara 10m platform seirama apabila menamatkan saingan di tempat keempat.

Pasangan negara itu hanya mengumpul 284.52 mata.

Penerjun China Liu Huixia dan Chen Roulin muncul juara acara itu selepas mengumpul 348.60 mata selepas lima terjunan.

Penerjun tuan rumah Meaghan dan Roseline berjaya meraih pingat perak dengan jumlah 313.71 mata manakala pingat gangsa menjadi milik duo England Tonia Couch dan Lois Toulson, dengan hanya perbezaan 3.03 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:30 AM