KEADAAN sebuah rumah yang musnah.
PASUKAN penyelamat mengeluarkan beberapa mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di Manta.
AFP

Quito, Ecuador: Sekurang-kurangnya 233 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda pantai barat laut Ecuador kelmarin menyebabkan beberapa bangunan termasuk sebuah jambatan runtuh, kata pegawai semalam.

Gempa bumi melanda pada jam 8 malam (waktu tempatan) kira-kira 170 kilometer dari barat laut Quito dan gegaran kuat turut dirasai di seluruh Ecuador, utara Peru dan selatan Colombia.

Naib Presiden Ecuador, Jorge Glas berkata, jumlah kematian dijangka meningkat dalam gempa bumi yang dianggap terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Seorang penduduk Quito, Maria Torres, 60, berkata, gegaran kuat selama satu minit itu menyebabkan dia berasa pening.

“Ini adalah gegaran paling kuat yang pernah saya rasai dan saya sangat takut.

“Saya mahu berlari keluar rumah, tetapi bumi yang bergoncang menyebabkan saya tidak boleh berdiri,” katanya.

Glas memberitahu, jumlah mangsa yang disahkan terbunuh meningkat kepada 233 orang dan lebih 588 lagi dilaporkan cedera.

“Kami tahu masih ada penduduk yang terperangkap dalam runtuhan dan perlu diselamatkan,” jelasnya.

Kerajaan juga mengisytiharkan keadaan darurat di enam wilayah yang paling terjejas teruk.

Menurut Glas, pasukan penyelamat termasuk tentera dikerahkan ke kawasan bencana untuk misi menyelamat dan bantuan kemanusiaan.

Di bandar Guayaquil, seorang pemandu maut selepas keretanya dihempap sebuah jejambat yang runtuh.

Jurugambar AFP melihat penduduk bertungkus-lumus mengalihkan sisa runtuhan rumah bagi mencari mangsa yang terperangkap.

Seorang lagi penduduk Manta, Miriam Santana, 40, memberitahu, gegaran kuat menyebabkan banyak rumah runtuh.

“Saya melihat rumah runtuh satu demi satu, keadaan ketika itu seperti hari kiamat.

“Ramai penduduk yang terperangkap dalam runtuhan bangunan dan menjerit meminta pertolongan,” jelasnya.

Tambahnya, orang ramai yang berlari ke jalan raya pula hampir ditimpa tiang lampu dan elektrik yang tumbang.

Lapangan terbang di bandar itu turut ditutup dan pihak berkuasa berkata, menara kawalan mengalami kerosakan teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 7:10 AM