PASUKAN penyelamat menggali timbunan tanah untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam tanah runtuh di Minamiaso.
AFP

Kumamoto: Anggota penyelamat semalam menggunakan penyodok untuk menggali timbunan lumpur ketika mereka berdepan ancaman lebih banyak tanah runtuh untuk sampai kepada mangsa yang masih terperangkap dalam dua kejadian gempa bumi kuat di sini.

Sekurang-kurangnya 41 mangsa disahkan maut dalam bencana itu dengan 11 lagi hilang, dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan rumah atau lumpur.

Ramalan hujan lebat di beberapa kawasan tidak berlaku, memberi kelegaan kepada pegawai yang bimbang gempa susulan akan mencetuskan lebih banyak tanah runtuh.

Puluhan ribu penduduk bermalam di penginapan sementara atau berkumpul di pusat perlindungan ketika usaha menyelamat dipergiatkan.

Seramai 25,000 anggota penyelamat menggeledah kawasan kampung di mana banyak rumah tradisional runtuh atau ditimbus tanah dan batu yang runtuh dari lereng bukit.

Di Minamiaso yang terjejas teruk, puluhan anggota penyelamat menggunakan penyodok untuk menyelamatkan sekurangnya seorang penduduk yang dilaporkan hilang.

Daripada empat rumah yang didirikan di tepi jambatan, hanya tiga yang kekal apabila sebuah rumah dilanda tanah runtuh.

Yoko Eto, 38, berkata, dia melihat jirannya, Katashima, ditemui mati bersama anjingnya manakala isteri lelaki itu masih hilang.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, usaha menyelamat bakal diperkuatkan dengan bantuan dari tentera Amerika Syarikat.

“Menteri pertahanan memberitahu saya bahawa tentera AS menawarkan bantuan pengangkutan udara. Kami sangat berterima kasih dengan bantuan itu,” katanya.

Wilayah di barat daya Jepun itu dilanda dua gempa bumi kuat dalam tempoh 24 jam menyebabkan sekurang-kurangnya 41 penduduk maut.

Gempa bumi pertama berukuran 6.4 magnitud melanda pada lewat Khamis lalu diikuti dengan gempa bumi kedua berukuran 7.3 magnitud kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 7:02 AM