PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan cabutan tender kontraktor sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. FOTO Mohd Radzi Bujang
Shamran Sarahan
shamss@hmetro.com.my


Sibu: Seramai 78 kontraktor tempatan di Sarawak menerima RM533.8 juta sempena pelancaran Lebuh Raya Pan Borneo Fasa ke-4 Jajaran Bintangor-Sungai Kua, dari keseluruhan kos projek bernilai RM1.7 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pembinaan lebuh raya ini bukan sekadar satu projek mega yang dilaksanakan kerajaan, sebaliknya ia akan memberi limpahan manfaat kepada kontraktor tempatan, terutama kontraktor kelas F.

Menurut Najib, kerajaan mengolah projek itu bagi memastikan pelaksanaannya dinikmati rakyat secara menyeluruh, dari kontraktor kecil dan hanya rakyat Sarawak sahaja bakal mendapat faedah itu.

"Projek ini cukup besar maknanya kepada rakyat Sarawak, berpuluh-puluh syarikat Bumiputera akan dapat peluang menerima kontrak, bukan hanya kontraktor tertentu sahaja. Semua (kontraktor kelas F) berpeluang.

"Saya tidak mahu kesilapan Projek Bakun berulang lagi, ia hanya diberikan kepada kontraktor tertentu yang akhirnya tidak dapat melaksanakannya dengan baik, tetapi bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, kita berikan kepada kontraktor yang mampu melakukannya," katanya ketika pelancaran projek lebuh raya itu, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pakej jajaran sepanjang 76.2 kilometer ini akan membabitkan projek menaik taraf jalan sedia ada kepada empat lorong dua hala, dua persimpangan bertingkat, satu hentian sebelah yang akan di bina di Julau. 79 hentian bas, 7 jejantas dan 46 pusingan U.

Jambatan Rajang yang juga dikenali sebagai Jambatan Durinsepanjang 1.7 kilometer akan turut dinaik taraf kepada empat lorong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 1:49 PM