FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Tawau: Lima kru kapal yang terselamat daripada diculik dalam kejadian serangan kumpulan bersenjata di perairan antarabangsa Filipina sedang dirakam percakapan untuk tujuan pengecaman suspek.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, seorang kru kapal yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Besar Tawau manakala lima yang lain berada di Lahad Datu untuk dirakam percakapan mereka.

"Kita sedang mendapatkan cerita dari mereka bagi tujuan membantu dalam pengecaman suspek dan apa sahaja yang berkaitan yang boleh membantu dalam kes ini.

"Kita sentiasa berhubung dan mereka juga bekerjasama dengan baik dengan kita," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa, Lambas Simanungkalit, di Unit Rawatan Rapi, Hospital Besar Tawau, sebentar tadi.

Rashid berkata, pihaknya juga turut berhubung dengan Polis Antarabangsa (Interpol) Indonesia kerana semua kru kapal yang selamat adalah rakyat mereka dan kapal tunda didaftarkan di negara itu.

"Kita akan berhubung dengan Interpol Indonesia untuk berbincang bagi menyelaraskan tindakan yang akan diambil," katanya.

Terdahulu, pada Jumaat lalu kira-kira jam 6.30 petang, sebuah kapal tunda TB Hendry dipintas sebuah bot laju sebelum empat kru kapal dilarikan dan seorang cedera selepas ditembak namun berjaya diselamatkan bersama lima yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 1:01 PM