SEORANG wanita melaungkan slogan antikerajaan dalam tunjuk perasaan di Kaherah, kelmarin.
AP

Kaherah:Polis Mesir menahan berpuluh-puluh penunjuk perasaan kelmarin selepas beribu-ribu orang berkumpul bagi membantah keputusan Presiden Abdel Fattah el-Sissi menyerahkan dua pulau di Laut Merah kepada Arab Saudi.

Laungan “Pergi! Pergi!” yang ditujukan kepada Abdel Fattah berkumandang dalam protes jalanan antara terbesar sejak bekas ketua tentera itu menjadi Presiden pada 2014.

Polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Kaherah dan Giza selepas orang ramai berhimpun di dua masjid selepas solat Jumaat.

Kumpulan penunjuk perasaan kemudian berarak ke dataran Tahrir, lokasi kebangkitan rakyat pada 2011 yang menumbangkan diktator Hosni Mubarak.

Ramai penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis “Tanah adalah maruah” dan mengecam tindakan kerajaan menyerahkan pulau berkenaan.

Pegawai keselamatan berkata, lebih 80 orang ditahan di Kaherah, Giza dan di Iskandariah.

Tunjuk perasaan tanpa kebenaran adalah diharamkan di Mesir sejak undang-undang baru dikuatkuasakan pada 2013 dan pihak berkuasa sering menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perhimpunan berkenaan.

Seorang pegawai berkata, tunjuk perasaan di Giza didalangi oleh kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan kerana didakwa sebagai kumpulan pengganas.

“Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas penunjuk perasaan membaling batu,” katanya.

Kaherah sebelum ini menegaskan bahawa Pulau Tiran dan Sanafir di selatan Sinai adalah milik Arab Saudi yang meminta Mesir melindunginya dari Israel pada 1950.

Israel menawan pulau berkenaan ketika perang pada 1967 tetapi diserahkan kembali kepada Mesir melalui perjanjian damai pada 1979.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:05 AM