Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Bertahun-tahun menyulam cinta, banyak dugaan dan cabaran dilalui bersama dan akhirnya hubungan terjalin antara aktres popular, Nora Danish, 34, dan Nedim Nazri, 33, bakal diikat dengan pernikahan.

Begitupun, tiada perancangan spesifik tetapi Nora mengakui Nedim menyatakan hasrat kalau boleh mahu menikahinya dalam tahun ini juga.

Perkara itu dikongsi Nora sewaktu ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Mak Cun di Istana Budaya, baru-baru ini.

Sebelum ini, pelakon yang mula dikenali ramai menerusi sitkom popular Puteri itu berkongsi sedikit mengenai persetujuannya akan bernikah dengan Nedim tetapi tidak menyatakan bila tarikhnya.

“Apabila Nedim sendiri bersungguh-sungguh dan mahu kami bernikah dalam tahun ini, membuatkan saya berfikir kembali, apa lagi yang saya mahu tunggu atau cari?

“Hendak fikir pengalaman lalu membuatkan saya takut untuk bernikah lagi? Tidakkah kehidupan manusia itu ada pasang surutnya,” katanya.

Tegas Nora, bernikah dengan Nedim mahupun dengan mana-mana lelaki sekalipun, rumah tangga dibina pasti ada dugaannya.

Katanya, paling penting seseorang itu harus reda dengan ketentuan-Nya.

“Melihat dari situasi keliling, ada rakan-rakan yang pernah melaluinya mereka enggan atau takut dengan perkahwinan kerana tidak mampu menerima kenyataan atas kegagalan rumah tangga dibina.

“Saya belajar dari situ. Apabila kita tidak menerimanya sebagai satu ketentuan, pastinya situasi itu akan mempengaruhi hati untuk membuat keputusan.

“Tapi saya sendiri tidak muda lagi malah saya dan Nedim sudah melalui pengalaman berumah tangga. Cuma untuk pernikahan kali kedua ini, saya mengingatkan diri agar kelak apabila sudah punya suami jadilah isteri yang baik dan didik diri untuk sentiasa bersabar. Saya yakin mampu lakukan. Insya-Allah,” katanya.

Sepanjang berkawan dengan Nedim, Nora yakin mereka benar-benar serasi apatah lagi selalunya kekasihnya itu akan bersetuju dengan apa yang diputuskan.

“Saya suka bercuti dan mengembara. Apabila berkahwin nanti, seronok apabila kami dapat melakukan aktiviti itu bersama-sama,” katanya.

Mengenai perancangan hari bersejarahnya itu, Nora berkata dia dan Nedim tidak merancang untuk mengadakan majlis besar-besaran. Sebab itu mereka belum menetapkan tarikhnya lagi untuk majlis pernikahannya.

Kata bintang Aku Terima Nikahnya itu, dia sendiri berasakan apa yang penting adalah perkara yang afdal iaitu bernikah.

“Persiapan pun kalau boleh tak payah lama-lama. Bila dah rasa ada tarikh sesuai, persiapan dalam masa sebulan pun sudah cukup. Paling penting, bernikah di masjid,” katanya.

Kata Nora, dia tidak mahu bersakan membuat persiapan dan melaksanakan majlis pernikahan atau resepsi besar-besaran.

“Saya dan Nedim pernah merasai majlis pernikahan dibuat besar-besaran, jadi untuk kali kedua ini biarlah kami bersederhana. Tidak semestinya majlis sederhana itu tidak meriah,” katanya.

Mengenai hantaran, jelas Nora ia hanyalah adat. Untuk bernikah bersama Nedim, apa yang dia pentingkan adalah perkara wajib.

“Daripada berhabis untuk hantaran dan belanja kahwin tinggi, ada baiknya wang itu disimpan dan digunakan apabila kami melayari hidup berumah tangga nanti.

“Apabila bernikah dan membina hidup bersama, sudah tentu wang banyak yang perlu dibelanjakan dalam jangka masa panjang. Ada baiknya duit yang ada itu kami laburkan.

“Tambah pula selepas berkahwin, pastinya saya dan Nedim mahu menimang cahaya mata lagi. Membesarkan anak-anak zaman sekarang belanjanya agak tinggi. Pada waktu sama, wang yang ada boleh kami gunakan untuk memulakan perniagaan bersama,” katanya.

Selesai saja penggambaran drama bersiri Mak Cun, Nora akan sibuk di lokasi telefilem arahan Ghaz Abu Bakar kemudian menjayakan satu lagi filem baru sebelum berehat panjang.

Dihitung daripada jadual kerjanya, pastinya majlis pernikahan Nora dan Nedim akan berlangsung akhir tahun ini. Apabila ditanya perkara itu, dia hanya tersenyum dan menjelaskan, apabila hari bersejarah itu tiba nanti dia akan berkongsi dengan teman media juga peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:04 AM