ABU Bakar
myMetro

Jakarta: Seorang ulama radikal yang dipercayai perancangan serangan bom Bali 2002 dipindah ke sebuah penjara kawalan maksimum berhampiran Jakarta semalam atas faktor keselamatan, kata pegawai.

Abu Bakar Bashir, 77, yang memimpin kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) dihukum penjara 15 tahun pada 2011 kerana menyokong kumpulan pengganas.

Walaupun berada di penjara, pihak berkuasa bimbang Abu Bakar masih mempunyai pengaruh terhadap rangkaian pengganas berkenaan.

Jurucakap kementerian hal ehwal keselamatan, Agus Barnas berkata, Abu Bakar dipindahkan ke penjara kawalan maksimum Gunung Sindur di Bogor dari penjara Nusakambangan di Jawa Tengah.

Langkah itu menunjukkan kerajaan kini lebih serius menguruskan kawalan di penjara negara itu yang dikenali sebagai tempat merekrut militan.

Serangan di Jakarta pada Junuari lalu dipercayai dilakukan oleh penyerang yang dipengaruhi pemimpin pengganas di penjara.

Kelemahan sistem penjara, kekurangan pengawal dan rasuah menyebabkan banduan boleh menyebarkan fahaman mereka melalui emel dan telefon.

“Sebelum ini Bashir bebas menyebarkan ajarannya melalui pelawat atau juga telefon.

“Kami ada undang-undang tetapi ia tidak dikuatkuasakan,” kata Agus. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:04 AM