GADIS menikmati keindahan bunga Canola.
BUNGA rapeseed mempunyai debunga yang melekat pada pakaian.
ROMBONGAN peserta tidak melepaskan peluang merakam kenangan.
PERMAIDANI emas.
MASJID Al-Fatah menjadi satu-satu masjid besar di Busan. Cara termudah untuk melawatinya dengan menaiki subway ke Stesen Dussil, Exit 8.
SIKHYE adalah minuman tradisional masyarakat Korea yang dihidangkan sebagai pencuci mulut yang manis mengandungi nasi.
HIDANGAN kambing bakar bersama nasi, menu istimewa dari Cappadocia Turkish Kebap House yang terletak bersebelahan Masjid Al-Fatah.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Lautan kekuningan! Hadiah terbaik bagi pengunjung yang mendambakan pemandangan indah di sepanjang tebing Sungai Nakdong, Busan, Korea Selatan.

Tatkala kelopak bunga sakura mula memenuhi tanah, bunga rapeseed (Canola) atau nama saintifiknya, Brassica Napus, pula mengambil giliran untuk memancarkan aura kuningnya sekali gus memeriahkan lagi kedatangan musim bunga bermula April.

Penulis antara lapan wartawan dan blogger yang menyertai kembara ‘familiarization’ (suai kenal) anjuran Korea Tourism Organization bersama Air Asia X ke wilayah terbesar di timur Korea Selatan, Gyeongsangbuk, sebagai destinasi pelancongan terbaru di negara KPop.

Kali pertama menjejakkan kaki ke wilayah Gyeongsangbuk yang terdiri daripada 10 bandar termasuk Andong, Gimcheon, Gumi, Gyeongju, Gyeongsan, Mungyeong, Pohang, Sangju, Yeongcheon dan Yeongju, kunjungan ini meninggalkan memori tersendiri apatah ia juga menjadi percutian musim bunga julung kalinya buat penulis.

Apabila bas memasuki kawasan Gangseo, seawal jam 9 pagi waktu tempatan, pemandu pelancong, Spencer Cheh, pantas mengarahkan kami supaya melihat bahagian kanan jalan raya yang menempatkan hamparan ‘yuchae ggot’, panggilan bunga rapeseed dalam bahasa Korea.

Kombinasi sinaran mentari dan rona kuning terang rapeseed membuatkan Daejeo Ecological Park yang menjadi lokasi tahunan Busan Nakdong River Rape Blossom Festival seakan-akan dihamparkan dengan permaidani emas.

Dengan keluasan lebih 760,000 meter persegi, Daejeo Ecological Park adalah ladang terbesar bunga ‘yuchae’ di Korea Selatan disenaraikan sebagai satu destinasi pelancong untuk menikmati keceriaan musim bunga.

Cuaca indah dengan suhu kira-kira 11 darjah Celsius, perkarangan taman sudah dipenuhi warga tempatan bersama keluarga masing-masing untuk berkongsikan keunikan bunga ‘yuchae’ sambil merakam foto kenangan.

Enggan membazirkan masa yang diperuntukkan selama satu jam 30 minit, penulis turut menyertai khalayak dan mula menyelusuri rimbunan rapeseed dengan ketinggian kurang 90 sentimeter.

Keadaan tanah agak berlumpur tidak menghalang pengunjung untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan, malah ada segelintir sanggup duduk di celahan pokok renek, rapeseed demi menghasilkan gambar terbaik sebagai koleksi peribadi.

Bagi mereka yang ingin merasakan ‚dunia ini kepunyaannya‘, akan terus melangkah menyusuri hamparan bunga kanola untuk mendapatkan foto tanpa kewujudan manusia lain di sekeliling mereka.

Melalui pengamatan penulis, setiap pengunjung seolah-olah tidak puas merakam gambar dikelilingi bunga ‘yuchae’ apabila kamera sentiasa dihalakan ke pelbagai sudut dan gaya.

Kagum dengan ciptaan Allah, kawasan bunga ‘yuchae’ yang menghasilkan minyak sayuran ‘canola’ ini bukan saja berdekatan Sungai Nakdong bahkan pemandangannya disempurnakan dengan berlatarbelakangkan gunung menjadi identiti muka bumi Busan.

Seronok dikelilingi bunga kecil kekuningan yang berbatang lembut berwarna hijau ini membuat penulis mengabaikan serbuk debunga kanola yang melekat pada pakaian.

Festival berlangsung pada minggu kedua setiap April ini bukan sekadar membolehkan pelancong menyaksikan lautan ‘yuchae ggot’, bahkan pelbagai aktiviti termasuk menanam padi bagi kanak-kanak, menunggang kuda, bermain layang-layang serta persembahan jalanan.

Hanya memiliki sumber bahan asli, arang, penulis berpendapat pentadbiran Korea Selatan bijak mencipta tarikan baru untuk menjana pendapatan negara menerusi sektor pelancongan.

Ia terbukti dengan penganjuran Busan Nakdong River Rape Blossom Festival kali kelima anjuran Busan Agricultural Technology Center yang diselaraskan Jawatankuasa Penganjur Budaya Busan dan Festival Pelancongan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:01 AM