PROJECT 6: Royal Floria, Putrajaya.
KESINAMBUNGAN persekitaran dalam ‘River of Life Master Layout Plan.’
GABUNGAN idea menarik dalam FLORIA Diraja Putrajaya yang turut melayakkan kemenangan.
KETELITIAN dalam ‘River of Life Master Layout Plan’.
PROJEK The Leafz yang turut membangunkan kelestarian landskap.
AURA kehebatan Philea Resort & Spa turut diiktiraf dalam MLAA.
PERANCANGAN rapi seni bina landskap di Lepironia Gardens.
FLORIA Diraja Putrajaya turut memenangi anugerah.
DR Osman (tujuh dari kanan) dan Halimah (tengah) bersama Ahli Majlis ILAM ketika MLAA, baru-baru ini.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Seni bina landskap saling berkaitan dengan sains dan seni dalam reka bentuk, perancangan atau pengurusan sesuatu kawasan.

Begitu juga dengan pengaturan struktur binaan manusia atau semula jadi melalui aplikasi pengetahuan dan kemahiran berkaitan budaya, kaedah saintifik dalam ekologi serta kajian perlakuan.

Selain mengambil kira pemeliharaan sumber semula jadi dan pengawasan kawasan yang mampan hingga membawa kepada pengayaan persekitaran luar untuk kegunaan serta keselesaan pengguna.

Dari kesinambungan itu, Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) begitu sinonim dengan dunia landskap khususnya dalam pembangunan negara.

Menurut Presiden ILAM, Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, antara peranan lain ILAM adalah mengembangkan pembangunan seni bina landskap di negara ini dari setiap aspek termasuk perancangan, rekaan, pelaksnaan dan pengurusan.

“Pada masa sama kami berperanan dalam membangkitkan kesedaran dan memberi kefahaman kepada masyarakat berkenaan seni bina landskap.

“Terutama berkenaan meningkatkan mutu kehidupan manusia seperti di bandar besar yang sesak dan sibuk dengan kegiatan harian.

“Ia bagi membolehkan masyarakat menikmati dan mengecapi kualiti kehidupan manusia dengan mengimbangkan pembangunan serta pemeliharaan alam semula jadi yang bermutu tinggi,” katanya.

Melihat senario landskap semasa yang kebelakangan ini berdepan dengan situasi cuaca panas di luar kebiasaan, Dr Osman berkata, kombinasi semua elemen dalam seni bina landskap itu sendiri sangat penting.

“Di sini kita dapat lihat hubung atau kaitan bagaimana tanaman berjaya mengurangkan kesan haba hingga persekitaran kembali segar.

“Begitu juga dengan pemilihan konsep landskap kerana ramai dalam kalangan kita lebih cenderung dengan idea taman ringkas, praktikal dan bermanfaat,” katanya.

Menurutnya konsep ‘roof top garden,’ dan taman menegak atau vertikal antara yang semakin popular di negara ini khususnya masyarakat bandar.

“Dalam persekitaran dunia yang tidak menentu dengan perubahan iklim mendadak, pemanasan global semakin ketara,

“Keadaan itu mendorong arkitek landskap untuk menggabungkan reka bentuk bangunan dan bandar dengan perancangan landskap seimbang untuk kelestarian bandar,” katanya.

Malah Dr Osman berkata, pihak ILAM sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran umum berkenaan peranan penting dimainkan arkitek landskap.

“Bukan saja dalam industri pembinaan tapi juga kesejahteraan masyarakat tempatan dan antarabangsa secara keseluruhan,” katanya.

Pengiktirafan dan anugerah

Setiap tahun, ILAM menganjurkan anugerah Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA), sempena sambutan Bulan Seni bina Landskap Sedunia.

Bulan Seni bina Landskap Sedunia biasanya disambut setiap April saban tahun.

Tahun ini, majlis yang diadakan Sabtu lalu itu menyaksikan anugerah MLAA yang menjangkau lapan tahun dan menerima penyertaan dari pelbagai pihak.

Ia termasuk arkitek landskap profesional, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, pemaju hartanah, kontraktor landskap, penyelidik dan pelajar seni bina landskap di peringkat pengajian tinggi.

“Kali ini menyaksikan persaingan hebat 130 penyertaan dari dalam dan luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam.

“Penyertaan ini melalui tujuh kategori dipertandingkan iaitu kategori Kontraktor Landskap, Pemaju, Penyelidik, Kerajaan & Pihak Berkuasa Tempatan dan Pelajar.

“Kategori Profesional Muda baru diperkenalkan tahun ini memberi pengiktirafan kepada arkitek landskap muda yang mempunyai pengalaman industri kurang daripada 10 tahun,” kata Dr Osman yang turut berbangga kerana anugerah MLAA itu turut diiktiraf Persekutuan Antarabangsa Arkitek Landskap (IFLA).

Semua pemenang pula turut bersaing dalam kategori anugerah berprestij iaitu ‘Project Of The Year.’

Selain anugerah sampingan termasuk Anuegarah Pencapaian Hijau yang juga baru diperkenalkan tahun ini.

Menariknya anugerah Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:02 AM