SHIMA.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Sayang sekali single kedua Baby Shima berjudul Nombor 2 tidak dapat dipromosikan kerana sebaik saja lagu itu siap, berlakunya tragedi kehilangan pesawat MH370 dan diikuti pula MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.

Ketika itu seluruh negara berkabung dan industri hiburan tanah air turut mengurangkan aktiviti seni.

Bagaimanapun, Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 25, memandang situasi itu dari sudut postif dan mungkin rezekinya belum tiba.

Disebabkan itu, lagu itu tidak sempat diperdengarkan kepada peminat dan tahun ini dia akan mempromosikan semula lagu itu.

“Saya tidak pernah berputus asa atau kecewa, tetapi siapa yang mampu menolak ketentuan Ilahi. Kini saya melancarkan semula kerjaya seni dengan mempromosikan semula Nombor 2 dan akan merakamkan lagu baru di Indonesia,” katanya.

Menurut Shima, dia mendapat tawaran merakamkan lagu di sana apabila syarikat rakaman negara itu, CBN Entertainment melamarnya untuk menganggotai kumpulan Cherry Belle.

“Saya tiada masalah mengembangkan kerjaya seni saya di sana lagipun semua kemudahan seperti rumah disediakan. Bagaimanapun ada beberapa syarat yang mereka tetapkan saya kurang bersetuju. Antaranya termasukl jika muncul berkumpulan mesti menyarungkan baju yang sama tanpa mengira baju itu seksi.

“Perkara seperti itu saya tidak boleh bertolak ansur. Syukur pengurusan syarikat itu memahami perasaan dan kehendak saya lalu mereka tawarkan saya merakamkan lagu solo apabila kontrak ditandatangani atas setiap single yang dirakamkan.

“Lagu sudah ada dan sedang memilih mana yang sesuai untuk pendengar Indonesia dan Malaysia. Mereka mahu saya merakamkannya awal tahun ini, tetapi saya agak sibuk waktu itu. Insya-Allah, jika tiada apa-apa saya akan ke Indonesia pada Ramadan ini kerana mereka bercadang memasarkan lagu itu selepas Aidilfitri.

“Sebelum itu, saya sudah ke sana untuk berbincang dan pada pertemuan itu CBN Entertainment memperkenalkan saya kepada penggiat seni di sana dan turut membawa saya menghadiri uji bakat berlakon dalam sinetron. Kalau ada rezeki, nampaknya saya juga menceburi dunia lakonan di Indonesia,” katanya.

Shima akui perjalanan kerjaya seninya agak perlahan, namun dia akan terus berusaha dan dia juga belajar berniaga demi jaminan masa depannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:01 AM