Seramai 50 anggota pasukan penyelamat berusaha sepanjang malam tadi untuk mengeluarkan bayi perempuan dari bawah runtuhan sebelum berjaya berbuat demikian pada 3.45 pagi waktu tempatan. - Foto REUTERS/Polis Wilayah Kumamoto
Bayi perempuan berusia lapan bulan yang berjaya diselamatkan selepas enam jam berada di bawah runtuhan rumah keluarganya berikutan gempa bumi 6.5 magnitud melanda Pulau Kyushu, selatan Jepun malam tadi. - Foto REUTERS/Mainichi Shimbun
AFP

Tokyo: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan selepas enam jam ia berada di bawah runtuhan rumah keluarganya di bandar Mashiki, selepas gempa bumi 6.5 magnitud menggegarkan selatan Jepun malam tadi.

Bayi perempuan itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian, ibu, datuk, nenek serta abangnya berada di ruang tamu dan dapur manakala bayi berkenaan tidur dalam bilik di tingkat atas apabila gempa bumi melanda Pulau Kyushu.

Semua anggotanya yang berjaya menyelamatkan diri, cuba masuk untuk menyelamatkannya namun rumah berkenaan tiba-tiba runtuh.

Seramai 50 anggota pasukan penyelamat berusaha sepanjang malam untuk mengeluarkannya dari bawah runtuhan sebelum berjaya berbuat demikian pada 3.45 pagi waktu tempatan.

Gempa bumi itu menyebabkan sembilan terbunuh, 1,000 lagi cedera serta menyebabkan puluhan ribuan terputus bekalan elektrik dan air. Sehingga tengah hari tadi, lebih 130 gegaran susulan berlaku. Pakar menjangka gegaran itu akan berterusan selama seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 5:11 PM