BUKIT Bunuh kawasan penempatan purba 40,000 tahun ini antara lokasi sarat artifak.
D J Dolasoh
rencana@hmetro.com.my

Pengalaman berkayuh basikal melalui kawasan tapak purba yang sarat dengan bahan artifak dan pernah dihuni manusia purba sejak zaman Paleolitik (Perak Man lebih 11,000 tahun lalu), Neolitik (7,000 tahun) dan zaman Logam (4,000 tahun) cukup mahal buat 157 peserta terutama yang belum pernah melaluinya.

Lebih menarik, peserta diberi peluang berkayuh di kawasan prasejarah Lembah Lenggong yang diisytiharkan UNESCO pada 30 Jun 2012 lalu sebagai Tapak Warisan Dunia (TWD) apabila melalui kawasan Bukit Bunuh yang berbatu.

Selain itu, ia diselaputi batu suevite yang terjadi kesan daripada hempasan tahi bintang kira-kira 1.83 juta tahun lalu.

Peserta negara dan dari Yala, Thailand menyertai Lenggong Archaeology Mountain Bike Trail (AMBT) anjuran bersama Jabatan Warisan Negara (JWN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Majlis Daerah Lenggong dan Tourism Perak julung kali diadakan di Lembah Lenggong.

Seawal 6.45 pagi, peserta mula berkumpul di depan Galeri Arkeologi Lembah Lenggong (GALL) di Kota Tampan sebelum dilepaskan Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah pada jam 8 pagi dan berakhir empat jam kemudian.

Kayuhan itu melalui lima kampung prasejarah iaitu Kampung Teluk Batu, Kampung Temelong, Kampung Labit dan Bukit Bunuh sebelum balik semula ke GALL sejauh 24 kilometer (km) meredah hutan, sawah, ladang sawit, bukit dan kawasan berbatu.

Cabaran diakui cukup mencabar peserta terutama selepas berkayuh sejauh 21km di Bukit Bunuh, lokasi yang sarat dengan bahan artifak sejauh kira-kira lima kilometer kerana selain curam, ia dipenuhi batu kerikil yang keras dan tajam.

Keadaan mencabar ini menyebabkan 10 peserta mengalami kejang otot, muntah dan hampir pengsan hingga terpaksa berhenti sebelum dibantu anggota RELA dan JPAM yang membawa peralatan kecemasan.

Walaupun terpaksa akur dengan turun dari basikal ketika melalui trek kerikil tajam dan beberapa basikal bocor tayar, peserta berpuas kerana dapat menyaksikan sendiri kawasan tapak purba itu.

Pengarah Zon Tengah JWN merangkap Pengarah GALL Mohd Shahrin Abdullah berkata, penganjuran acara berbasikal itu usaha pihaknya mempromosikan Tapak Warisan Dunia dan GALL kepada orang ramai.

“Program kayuhan ini bertujuan menyampaikan maklumat mengenai GALL dan TWD di Lenggong kepada orang ramai selain mahu membuktikan kawasan itu sesuai untuk aktiviti sukan lasak.

“Kami menyampaikan pelbagai maklumat serta mengedar risalah mengenai GALL dan TWD kepada peserta dan berharap mereka menyampaikannya pula kepada orang lain,” katanya.

Seorang peserta Mohd Fadhullah Husop, 43, berkata ini pengalaman pertamanya melalui laluan dipenuhi tapak bersejarah selepas lebih 30 kali menyertai pelbagai acara kayuhan lasak.

“Kesan sejarah purba terutama artifak di Lembah Lenggong jelas kelihatan dan kami dapat melihat kesan pihak berkaitan mencari gali serta usaha memuliharanya,” kata juruteknik basikal bukit dari Taiping ini.

Peserta tunggal wanita Azlin Ismail, 40, teruja menyertai kayuhan itu kerana mahu menghayati lokasi tapak warisan dan memperoleh banyak ilmu selepas diberi taklimat di muzium GALL.

“Pengalaman melalui kawasan tapak purba ini tidak mungkin saya lupakan dan penganjur perlu dipuji kerana menyedarkan kami mengenai khazanah purba supaya kita pulihara bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 12:01 PM