NORSABRINA (kanan), Frinzi (dua dari kiri), Lee (kiri) dan Ford (dua dari kanan) merasmikan kilang Abbott di Kulim Hi-Tech Park.
Azahar Hashim
bisnes@hmetro.com.my


Kulim: Syarikat terkemuka dalam bidang perubatan dan kesihatan mata, Abbott membuka kilang pertama di negeri ini bagi penghasilan kanta intraokular (IOL) yang digunakan untuk memulihkan penglihatan selepas menjalani pembedahan katarak.

Naib Presiden Kanan, Perniagaan Penjagaan Penglihatan Abbott, Tom Frinzi berkata, kilang terbabit yang akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun ini dijangka mampu memenuhi kapasiti pengeluaran lebih empat juta kanta intraokular dalam tempoh setahun.

Katanya, kilang seluas 1.48 hektar berkenaan memiliki seramai 500 kakitangan termasuk pakar bidang kejuruteraan, pengurusan rantaian bekalan, pengilangan, kualiti dan pematuhan.

“Operasi kilang ini akan menggunakan peralatan, bahan dan piawaian kualiti setanding kilang pengeluaran kanta intraokular Abbott lain di Belanda dan Puerto Rico.

“Abbott akan mengeluarkan jutaan kanta IOL setiap tahun di kilang baru ini untuk memenuhi keperluan pembedahan katarak yang kian meningkat, sekali gus menjadi pelaburan pengeluaran pertama di negara ini membabitkan kos berjumlah AS$60 juta (RM240 juta).

“Kita berharap dapat membantu penduduk dunia terutama mereka berusia emas dalam melindungi mata supaya boleh menjalankan aktiviti seharian tanpa gangguan dari segi penglihatan,” katanya pada majlis perasmian kilang Abbott di Kulim Hi-Tech, semalam, oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi, Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor yang mewakili Menteri Besar Kedah.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangasa dan Industri Datuk Lee Chee Leong, Timbalan Presiden Eksekutif Abbott Medical Devices Robert Ford, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq dan Presiden Perbadanan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KTPC), Datuk Anuar Safar.

Menurutnya, katarak adalah punca utama manusia mengalami masalah penglihatan, namun ia boleh dirawat dan dipulihkan menggunakan kanta IOL.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 9:39 AM